SIBU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut hendak membunuh adik perempuan serta anak saudaranya.
Tertuduh, Mohammad Hairi, 39, bagaimanapun gagal membayar denda tersebut dan diperintah oleh mahkamah untuk menjalani hukuman penjara enam bulan.
Mengikut pertuduhan, Hairi didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap adik perempuan berusia 36 tahun serta anak saudaranya berusia 22 tahun pada 12 November 2024, jam lebih kurang 6 pagi di sebuah rumah di Jalan Teruntum, Taman Rejang.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 506 kanun yang sama.
Sabit kesalahan hendaklah dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pada 12 November 2024, jam 6 pagi di rumah mereka di Jalan Teruntum, Taman Rejang, pengadu yang berusia 41 tahun dalam laporan mendakwa tertuduh telah marah dan mengugut untuk membunuh anaknya serta adik mereka yang juga adik perempuan tertuduh.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan tidak lama kemudian kira-kira jam 12.10 tengah hari, pihak polis telah menahan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Teruntum, Taman Rejang.
Sisatan yang dijalankan mendapati tertuduh telah bertengkar dengan adik perempuan serta anak saudaranya di tempat kejadian.
Tertuduh kemudian mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh kedua-dua mereka, tanpa mengira masa atau di mana-mana.
Kejadian telah disaksikan oleh kedua-dua mangsa dan kerana berasakan keselamatan mereka terancam, pengadu telah membuat laporan polis.
|