Georgetown: Pelajar perempuan tingkatan dua yang maut selepas terjatuh daripada tingkat lapan bangunan sebuah sekolah menengah di Jelutong, di sini, semalam dipercayai mengalami tekanan belajar.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, ia berdasarkan nota yang ditemukan polis ketika pemeriksaan.
"Polis menemukan nota dipercayai ditulis oleh pelajar itu yang mengatakan dia tertekan dalam pelajaran.
"Kita percaya ia menjurus kepada kejadian malah tidak menemukan sebarang unsur jenayah," katanya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rozak berkata, bedah siasat ke atas mangsa sudah dijalankan pagi tadi di Hospital Pulau Pinang (HPP) namun polis masih menunggu keputusannya.
Terdahulu, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan HPP berkaitan kematian pelajar itu, jam 5.57 petang kelmarin.
Siasatan di lokasi kejadian serta pada badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.