TERBAKAR: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi kejadian.
KENINGAU: Lima sekeluarga sempat menyelamatkan diri sebelum kediaman mereka di Kampung Bingkor Baru, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.53 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sembilan kilometer dari balai bomba.
"Setiba di lokasi didapati kebakaran membabitkan dua rumah dan sebuah kereta. Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran dua pancutan dengan sumber air dari jentera.
"Api berjaya dikawal jam 4.32 pagi dan rumah pertama terbakar sepenuhnya manakala rumah kedua terbakar lima peratus akibat bahang api," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, sebuah kereta jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) turut terbakar.
"Lima sekeluarga yang berada di rumah berkenaan sempat keluar menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
"Selepas pasukan bomba membuat pemeriksaan, tiada bahaya lain di lokasi dan operasi ditamatkan pada jam 5.14 pagi," katanya.
Tambahnya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
|