Edited by Vellfire at 26-11-2024 08:02 AM
Kong (tengah) semasa mengadakan lawatan ke tapak pameran MAKEM di SMK Kemena, Bintulu hari ini.
BINTULU: Ganjaran serta pengiktirafan akan menjadikan setiap pelajar berasakan usaha keras mereka dalam pelajaran dihargai, kata wakil Ahli Parlimen Bintulu Steven Kong Kai Seng.
Jelasnya, dengan meraikan kejayaan mereka dalam pelajaran di sepanjang sesi persekolahan akan menjadi motivasi buat diri mereka sendiri supaya belajar dengan bersungguh-sungguh lagi di sesi persekolahan akan datang.
"Dorongan serta semangat sebegini tidak akan hanya terhenti setakat itu sahaja, malah akan terus membara meskipun mereka melangkah ke institusi pengajian tinggi dan bidanv pekerjaan suatu hari nanti," ujarnya.
Steven berkata demikian semasa berucap merasmikan program Anugerah Kemenjadian Murid (MAKEM) dan Majlis Apresiasi Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemena di sini, hari ini.
"Program ini antara lain juga bertujuan bagi menghargai pencapaian pelajar serta mengiktiraf usaha dan kemenjadian mereka sepanjang sesi persekolahan berlangsung," ujarnya.
Malahan menurut Steven, ia lebih daripada sekadar majlis penghargaan kerana turut menjadi simbol harapan dan dorongan untuk setiap pelajar supaya melangkah ke masa hadapan dengan penuh keyakinan.
Setiap kejayaan yang diraikan tegasnya, adalah hasil kerja keras, disiplin, dan komitmen yang ditunjukkan selama ini hingga membuahkan pencapaian yang amat membanggakan.
"Jadi teruskan usaha anda dan jadikan pengalaman ini sebagai inspirasi untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di masa hadapan," jelasnya lagi.
|