SUMBANGAN: Hajiji diiringi Saat (tiga kiri) menyampaikan sumbangan Program Pembangunan Sekolah kepada wakil Sekolah Kebangsaan Tahak, Membakut sempena majlis itu.
KOTA KINABALU: Pesara kerajaan negeri Sabah akan menerima bonus sebanyak RM1,000 dan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Mengumumkan perkara itu, beliau berkata kerajaan mengambil keputusan berkenaan selepas mendengar pemintaan daripada pesara selain jasa khidmat bakti mereka selama ini.
“Dalam pembentangan belanjawan lalu, hanya penjawat awam yang mendapat bonus. Saya rasa tidak adil untuk tidak memberi bonus kepada pesara kerajaan negeri yang telah berkhidmat bakti kepada kerajaan negeri selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-47 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mahu KOPEKS terus merancang beberapa perniagaan baharu atau mempelbagaikan lagi perniagaan koperasi khususnya dalam era mencabar masa kini.
“Jaringan kerjasama dengan agensi perniagaan lain juga perlu dijalin dengan baik serta mengekalkan tahap tadbir urus yang baik dan amanah dalam koperasi.
"Saya dimaklumkan bahawa KOPEKS pada tahun 2023 telah menyediakan pelan strategi perniagaan bagi 2024-2026, yang meliputi bidang perniagaan, pelaburan dan pembangunan perniagaan baharu.
“Ini termasuk usaha KOPEKS membangunkan dua bidang tanah yang sedia ada masing-masing di Menggatal dan Lahad Datu untuk perumahan yang boleh dibeli oleh ahli dan orang ramai.
“Usaha ini amat baik dan saya yakin dengan bermulanya projek itu nanti, sudah pasti KOPEKS juga turut seiring dengan matlamat Pelan Pembangunan Negeri Sabah iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yakin kepimpinan KOPEKS hari ini mampu memenuhi keperluan ahli dan memperkukuh reputasi koperasi.
“Pengurusan yang cekap, komited dan berintegriti dalam setiap aspek akan meningkatkan kestabilan kewangan dan memberi manfaat berterusan kepada ahli dan komuniti," katanya
.Hadir sama Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr Saat Awang Damit, Ketua Pegawai Eksekutif KOPEKS, Buvil Angkui dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair.
|