KOTOR: Tangkap layar video menunjukkan keadaan perairan Jesselton Point yang terjejas dengan sisa sampah terapung.
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan segera mengatasi masalah isu sampah selepas seorang pelancong warga eropah memuat naik video menampakkan keadaan kawasan perairan Jesselton Point yang terjejas dengan kotoran serta sisa plastik.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya ambil maklum mengenai video yang dikongsikan pengguna media sosial terbabit yang sebelum ini turut berkongsi video mengenai keadaan persekitaran persisiran laut di Medan Selera Anjung Senja yang dilihat kurang bersih.
Tambahnya, isu sampah terapung di kawasan perairan bandar raya, termasuk saliran-saliran sungai, berada pada tahap yang kritikal.
“Sebagai langkah segera untuk menangani isu yang ditonjolkan dalam video ini, DBKK sudah menggerakkan anggota dan bot untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sampah terapung dan terdampar di kawasan berkenaan bermula hari ini.
“Pemantauan akan diteruskan bagi memastikan tahap kebersihan di Jesselton Point dan Medan Selera Anjung Senja sentiasa terkawal,” katanya.
Menurutnya, sebagai usaha jangka panjang, DBKK juga sudah merangka pelan tindakan komprehensif untuk menangani isu sampah di kawasan perairan bandar raya.
“Pelan ini merangkumi beberapa strategi utama yang akan dilaksanakan secara berperingkat. Bagi strategi pertama membabitkan Pengukuhan Infrastruktur Pengurusan Sampah iaitu DBKK akan membangunkan lebih banyak pusat pengumpulan sampah yang mudah diakses, terutamanya di kawasan kampung persisiran sungai dan kampung di kepulauan bagi memudahkan penduduk membuang sampah di tempat yang betul.
“Strategi kedua membabitkan Program Pendidikan dan Kesedaran Awam yang mana DBKK akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, dan institusi pendidikan untuk melaksanakan kempen kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, melupuskan sampah dengan bertanggungjawab, serta mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
“Aktiviti seperti seminar, bengkel, dan kempen media sosial akan diadakan untuk mendidik masyarakat mengenai kesan buruk sampah terhadap ekosistem laut,” katanya.
Bagi strategi ketiga katanya, Penggunaan Teknologi dan Inovasi iaitu DBKK akan memanfaatkan teknologi baharu dari luar negara serta inovasi digital untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan sampah dan pemantauan kawasan perairan.
“Dengan menggunakan aplikasi telefon pintar dan platform digital, DBKK dapat mengumpul data mengenai tahap kebersihan laut dan sungai serta mengenal pasti lokasi yang memerlukan tindakan segera.
“DBKK menyedari bahawa kejayaan pelaksanaan semua usaha ini memerlukan sokongan penuh daripada masyarakat dan sektor swasta. Oleh itu, DBKK menyeru semua penduduk dan pengunjung bandar raya agar bersama-sama memainkan peranan aktif dalam menjaga kebersihan persekitaran demi kebaikan bersama,” katanya.
|