Alor Setar: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat dengan mencecah 9,129 mangsa daripada 2,787 keluarga yang dipindahkan ke 53 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah setakat jam 12 tengah hari ini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, jumlah mangsa meningkat di Kota Setar iaitu seramai 3,301 mangsa daripada 991 keluarga di 13 PPS.
"Di Kubang Pasu seramai 2,824 mangsa daripada 900 keluarga di 16 PPS manakala daerah Sik seramai 1,120 mangsa daripada 342 keluarga di lapan PPS, dan daerah Padang Terap seramai 1,055 mangsa daripada 305 keluarga di 9 PPS.
"Sementara itu, daerah Pokok Sena seramai 614 mangsa daripada 183 keluarga di empat PPS dan di daerah Kuala Muda seramai 182 mangsa daripada 53 keluarga di dua PPS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu tinjauan mendapati, banyak premis perniagaan di Jalan Pumpong, Alor Setar dan Anak Bukit juga terpaksa ditutup berikutan air Sungai Kedah melimpah sehingga ke jalan raya.
Peniaga kedai baiki telefon, Chua Chin Chin, 41, berkata, air sungai naik dengan cepat sehingga menyebabkan laluan masuk ke premis perniagaan di Pumpong itu tenggelam.
Katanya, dia dan suami sempat menyelamatkan barangan dalam premis perniagaan mereka semalam selain menyangka air akan surut disebabkan tiada hujan sejak semalam.
"Namun tak sangka pula apabila sampai saja di kawasan hadapan premis, saya nampak air sungai sudah penuh sehingga ke jalan raya.
"Kami sudah dua hari menutup premis kerana tidak dapat meneruskan perniagaan kerana bimbang air makin naik," katanya ketika ditemui di lokasi banjir hari ini.
Sementara itu, peniaga sebuah restoran di Pumpong, Nurul Natasha Zamri, 30, berkata, dia menyedari air sungai masuk ke dalam premis pagi semalam.
Namun katanya, hari ini dia terkejut apabila datang semula untuk melihat restorannya mendapati air masuk sehingga ke paras paha dan terpaksa menutup premis sehingga banjir surut.
"Saya bimbang air makin naik kerana tengok keadaan macam naik lagi tapi harap surut la dengan cepat," katanya.
Selain itu, beberapa laluan jalan daerah Kubang Pasu juga masih ditutup kepada kenderaan ringan disebabkan air banjir yang melimpah termasuk di Lebuhraya Utara Selatan dari Jitra menghala ke Hutan Kampung.