Rimas sering terima jemputan sertai kumpulan video lucah
MOHD ISKANDAR OTHMAN
01 Disember 2024 07:30am
Ahmad menunjukkan mesej jemputan untuk menyertai kumpulan video lucah yang dihantar individu tidak dikenali melalui WhatsApp.
GEORGE TOWN - Penggunaan aplikasi sosial yang meluas ketika ini memudahkan penyebaran kandungan bahan lucah termasuk menerusi WhatsApp dan Telegram.
Pekerja swasta, Ahmad Qudri, 34, berkata, dia rimas apabila sering menerima mesej jemputan untuk menyertai kumpulan video lucah dalam aplikasi sosial berkenaan.
Menurutnya, mesej jemputan itu dihantar melalui kumpulan WhatsApp yang sebelum ini digunakan untuk mempromosi perniagaan dalam talian.
“Memang saya pada mulanya terkejut apabila menerima mesej supaya menyertai kumpulan yang memaparkan ratusan video lucah.
“Bayangkan, video-video lucah sangat mudah disebarkan melalui aplikasi dan media sosial sekarang, sudah tentu menimbulkan banyak lagi penyakit sosial termasuk kejadian jenayah seperti rogol dan cabul,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, sekiranya masalah itu tidak dibendung oleh pihak berkaitan, dikhuatiri ramai golongan remaja dan kanak-kanak terdedah kepada perbuatan tidak bermoral.
“Bagaimana tiga atau lima tahun akan datang kalau perkara ini tidak diambil tindakan dari sekarang,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil serius dengan masalah berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau penggunaan telefon bimbit anak-anak setiap masa.
https://www.sinarharian.com.my/article/699699/berita/nasional/rimas-sering-terima-jemputan-sertai-kumpulan-video-lucah
|