Penternak ayam di Kampung Pogoh 2 di sini, Zuraini Mohamad (T biru lengan panjang) memindahkan ayam ternakannya menggunakan perahu fiber bagi menyelamatkan ternakannya itu dari dihanyutkan air bah dan mati kesejukan. FOTO AHMAD ISMAIL
Segamat: Ulang alik selama lapan jam dalam kesejukan, itu tindakan Zuraini Mohamad, 55, demi menyelamatkan 500 ayam ternakannya daripada mati dihanyutkan banjir.
Dia yang tinggal di Kampung Pogoh 2, Segamat berkata, dia sanggup berulang alik berperahu selepas tidak tahan mengalami kerugian setiap tahun.
"Saya menternak ayam kampung yang dikacukkan dengan baka ayam hutan sejak lapan tahun lalu sebagai pendapatan sekeluarga.
"Setiap ayam ini saya jual antara RM45 hingga RM60 bergantung kepada baka yang dikacukkan," katanya sebagai penternak sepenuh masa.
Menurutnya, setiap kali kampungnya dilanda banjir, paras air banjir akan meningkat sehingga enam meter sekali gus menyebabkan semua ayam peliharaannya mati.
"Pernah suatu ketika dilanda banjir, saya mengalami kerugian lebih RM10,000 selepas ayam ternakan mati akibat dihanyutkan air.
"Bagi menyelesaikan masalah itu, banjir kali ini, saya mengeluarkan modal RM3,500 untuk membeli perahu fiber ini.
"Saya ambil masa hampir setengah hari sebelum berjaya memindahkan dari reban sejauh kira-kira 100 meter ke lokasi selamat," katanya.
Zuraini berkata, kampungnya itu kawasan yang sering ditenggelami air setiap kali tiba musim tengkujuh akibat limpahan Sungai Pogoh.
Disiarkan pada: Disember 1, 2024
|