Lau (dua kiri) sambil disaksikan Siti Rodziah (kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang kanak-kanak pada Majlis Konvokesyen SeDidik Zon Sibu Ke-33, hari ini
SIBU: Kesungguhan Kerajaan Sarawak memajukan pendidikan inklusif secara menyeluruh terbukti apabila ramai kanak-kanak mendaftar dalam program SeDidik Sarawak pada tahun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berkata, ini adalah satu langkah penting ke arah pembentukan masyarakat yang lebih berdaya saing dan prihatin terhadap kepelbagaian.
"Pendidikan inklusif adalah kunci untuk membina generasi yang saling menghormati dan penuh empati.
"Program SeDidik mengamalkan konsep pendidikan yang terbuka kepada semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang fizikal, kognitif atau sosioekonomi.
"Pendidikan inklusif bukan hanya persediaan untuk mereka menghadapi alam persekolahan, tetapi lebih daripada itu, ia mengajar mereka untuk menghargai perbezaan dan hidup dengan penuh rasa hormat," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Majlis Konvokesyen SeDidik Zon Sibu Ke-33 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakilnya, Kapitan Lau Sei Kwong.
Pada majlis itu, seramai 85 kanak-kanak dari sembilan Pusat SeDidik Zon Sibu menerima sijil tamat pengajian.
Tiang turut mengingatkan kepelbagaian budaya, bahasa dan latar belakang anak-anak di SeDidik adalah aset yang memperkukuh sikap keterbukaan dalam kalangan mereka.
"Kepelbagaian ini memupuk daya terima terhadap pelbagai pandangan, membantu mereka membina kemahiran sosial yang penting dalam kehidupan dan di sekolah.
"Dengan modal insan yang berkualiti, mereka akan menjadi penyumbang kepada masyarakat yang lebih harmoni," kata Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan.
SeDidik Sarawak katanya juga memberi penekanan terhadap pembangunan karakter melalui nilai-nilai murni seperti kasih sayang, tanggungjawab dan penghormatan.
Sebagai sebahagian daripada usaha itu katanya, SeDidik turut memperkenalkan dua program khas iaitu 'Young Leader Programme' dan 'Young Saver Programme.' Melalui 'Young Leader Programme,' kanak-kanak diberi peluang untuk merasai pengalaman kepimpinan, dengan setiap daripada mereka berpeluang menjadi ketua kelas secara bergilir selama seminggu.
Manakala, 'Young Saver Programme' bertujuan mengajar kanak-kanak mengenai kepentingan menabung sejak awal.
Dengan pendekatan yang menyeronokkan katanya, mereka diberi peluang untuk memahami asas pengurusan kewangan melalui aktiviti seperti menyimpan wang dalam tabung.
"Melalui kedua-dua program ini, anak-anak bukan sahaja belajar tentang tanggungjawab, tetapi menghargai nilai wang dan pentingnya perancangan kewangan dalam kehidupan mereka," tambahnya.
Hadir sama ialah Pengurus Kanan, Sektor Khidmat Korporat SeDidik Sdn Bhd Siti Rodziah Bunsu Drahman.
|