Pengendali Liverpool, Arne Slot (kiri) mengeluarkan Mohamed Salah selepas pemain itu menjaringkan gol dan membantu satu lagi ketika kemenangan ke atas Manchester City di Anfield. - Foto REUTERS
LIVERPOOL: Mohamed Salah mungkin akan menandatangani perjanjian pra-kontrak dengan Paris Saint-Germain pada jendela perpindahan Januari.
Masa depan bintang Mesir itu di Anfield mencetus persoalan apabila kontraknya bersama Liverpool yang berakhir musim ini belum disambung.
Dia muncul pemain terbaik perlawanan ketika Liverpool menewaskan juara bertahan, Manchester City 2-0 di Anfield - membantu jaringan Cody Gakpo dan menyempurnakan sepakan penalti.
"Setakat ini, ia mungkin perlawanan terakhir saya menentang Man City untuk Liverpool, jadi saya hanya mahu menikmatinya.
"Saya harap kami akan memenangi liga dan kita lihat apa yang berlaku selepas itu," kata Salah yang sudah meledak 224 gol dalam 369 perlawanan untuk Liverpool.
Selepas kemenangan ke atas Southampton hujung minggu lalu, pemain 32 tahun itu memberi isyarat yang dia lebih hampir kepada meninggalkan kelab berbanding kekal kerana masih belum ada tawaran melanjutkan kontrak.
Penyokong Liverpool mahu Salah terus bersama mereka, tetapi masa semakin suntuk untuk pemain sayap itu menandatangani kontrak baharu dan pasukan lain boleh mendapatkan persetujuan awal daripadanya menjelang Januari.
Salah sebuah kelab yang mampu menarik minat Salah ialah PSG yang sudah lama mengagumi pemenang Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah itu.
Salah mempunyai sejarah dengan pemilik kelab Paris itu, Nasser Al-Khelaifi yang cuba menandatanganinya sebelum ini, tetapi pemain berkenaan memutuskan untuk kekal di Anfield.
Salah, Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold berdepan situasi sama dalam kontrak mereka.
Liga Pro Saudi juga antara destinasi Salah dengan Al-Ittihad pada tahun lalu menawarkan 200 juta pound (RM1.13 bilion) tetapi ditolak oleh Liverpool. - AGENSI
|