Jitra: "Kami berharap jasad anak saudara, Ismail Hashim, 49, ditemui segera dan kalau tersangkut, timbullah cepat," kata Romli Bakar, 61.
Katanya, dia sempat berenang untuk membantu Ismail tetapi terpaksa berpatah balik kerana air deras selain paras air yang dalam.
"Saya menghubungi bomba jam 7.21 petang sebaik melihat Ismail tenggelam timbul dalam sungai.
"Saya sangkakan dia berenang tetapi rupanya dia lemas," katanya ketika ditemui di lokasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Kampung Paya Parit Latih, di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohd Bustan Karudin berkata, operasi akan disambung jam 8 pagi esok dengan pencarian selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan Sungai Petani.
Namun, katanya, operasi pencarian di permukaan air tetap diteruskan oleh anggota BBP Jitra pada waktu malam.
"Operasi belum berhasil menemukan mangsa sehingga jam 7.30 malam ini.
"Anggota PPDA melakukan lapan kali selaman sepanjang radius 100 meter dari mangsa dilaporkan tenggelam.
"Unit Anjing K-9 turut membantu mengesan kedudukan mangsa namun belum berhasil menemukan mangsa.
"Selain itu, pihak bomba turut hadapi cabaran air yang surut begitu deras.
"Operasi selaman akan disambung esok dan pencarian di permukaan masih diteruskan oleh anggota bertugas," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di Jalan Paya Kubang Lembu, Kampung Tok Kesop pada jam 7.15 malam semalam.