Tun Wan Junaidi menyampaikan sijil kepada graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-9 UTS di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud hari ini.
SIBU: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Canselor Kedua Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, hari ini.
Istiadat pemasyhuran tersebut berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud UTS bersempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-9 UTS.
Watikah pemasyhuran telah telah dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah UTS.
Dr. Annuar berkata, visi Tun Wan Junaidi untuk Sarawak yang mampan, berteraskan kemajuan teknologi dan intelek, adalah sejajar dengan misi universiti ini.
Beliau menyatakan bahawa Tun Wan Junaidi percaya pada gabungan tradisi dan inovasi, memperjuangkan pendidikan yang bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan kehebatan teknikal tetapi juga menyemai mereka dengan kebijaksanaan budaya dan daya tahan yang unik di Sarawak.
Justeru itu, kepimpinannya berjanji untuk mengangkat UTS sebagai inspirasi kecemerlangan serta merapatkan jurang antara akademik, industri, dan masyarakat, katanya lagi.
“Di bawah kepimpinan Tun sebagai Canselor, kami akan memperdalam komitmen kami untuk melahirkan pemimpin yang boleh mengharungi kerumitan dunia moden.
“Pemimpin yang akan mempelopori kemajuan dalam teknologi hijau, tenaga mampan, dan transformasi digital bagi memastikan kemakmuran Sarawak di pentas global,” ujarnya.
Turut hadir ke Istiadat Pemasyhuran, isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Menyentuh mengenai latar belakang Tun Wan Junaidi, beliau dilahirkan pada 1 Februari 1946 di Kampung Pendam.
Dr. Annuar berkata, Tun Wan Junaidi memulakan kerjaya awam pada usia 17 tahun dengan Jabatan Kerja Raya dan kemudian menyertai Sarawak Constabulary, menunjukkan keberanian menghadapi pemberontakan komunis.
“Tun Wan Junaidi melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang, memperoleh LLB (Hons.) dari University of Buckingham dan menjadi peguam di Lincoln’s Inn.
“Tun Wan Junaidi memasuki politik pada tahun 1983, menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar dan Santubong, serta memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
“Beliau memainkan peranan penting dalam meratifikasi Perjanjian Paris dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Pada Jun 2023, Tun Wan Junaidi dilantik sebagai Speaker Dewan Negara ke-19, fokus pada reformasi parlimen.
Beliau juga seorang penulis prolifik, dengan karya seperti "Evolusi Parlimen" dan "Crimson Tide Over Borneo".
|