Kakitangan SFC bersama pelbagai agensi dan penduduk kampung membantu ketika dalam proses pembersihan bangkai ikan paus yang telah dikenal pasti sebagai spesies paus Sei baru-baru ini. - Gambar SFC
KUCHING: Bangkai seekor ikan paus yang ditemui terdampar di Batang Lupar, bahagian Sri Aman, tiga minggu lalu telah dikenal pasti sebagai spesies paus Sei (Balaenoptera borealis).
Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC) Abang Arabi Abang Aimran berkata, pengenalpastian tersebut disahkan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Seksyen Forensik dan Sumber Genetik di Bahagian Penyelidikan dan Pemuliharaan Biodiversiti, SFC.
Katanya, ujian itu turut merujuk kepada data daripada Pusat Maklumat Bioteknologi Kebangsaan.
“Bangkai paus tersebut pertama kali dilaporkan oleh penduduk tempatan di media sosial berhampiran Pulau Seduku pada 19 November 2024.
“Empat hari kemudian, pasukan SFC menemui bangkai paus yang sudah reput teruk tersangkut di batang besi berhampiran tapak pembinaan Jambatan Triso.
“Jadi, hasil penemuan ini mencatatkan rekod pertama yang disahkan tentang kehadiran paus Sei di perairan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media SFC semalam.
Abang Arabi memberitahu, sebelum ini ada beberapa spesies paus besar lain yang pernah didokumentasikan di Sarawak berdasarkan literatur yang diterbitkan serta penemuan terkini.
Antara spesies tersebut termasuk paus Bryde’s (Balaenoptera edeni), paus Sperm (Physeter macrocephalus), paus Fin (Balaenoptera physalus), paus Minke (Balaenoptera acutorostrata) dan paus Humpback (Megaptera novaeangliae).
Justeru, beliau yang juga Kontroler Hidupan Liar berkata, dengan penemuan paus Sei itu, menjadikan jumlah keseluruhan spesies mamalia marin yang direkodkan di pesisir dan perairan laut Sarawak kini mencecah 25 spesies.
“Kepelbagaian spesies mamalia marin yang tinggi mencerminkan kesihatan dan keadaan semula jadi persekitaran laut Sarawak yang masih terpelihara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Arabi menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti berkaitan pemburuan, perdagangan atau pemeliharaan hidupan liar yang dilindungi untuk melaporkan kepada pihak SFC.
Katanya, maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline SFC Kuching (019-8859996); SFC Sibu (084-349455); SFC Bintulu (086-339842) dan SFC Miri (019-8290994).
“Kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan alam semula jadi Sarawak terus kekal terpelihara demi generasi akan datang,” ujarnya yang juga Kontroler Taman Negara dan Rizab Semula Jadi.
|