AIDIL (baju T putih), Umar Izwan (belakang) dan Idel Den didakwa pecah rumah. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Lelaki memiliki dua rekod jenayah pecah rumah dan curi antara tiga individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memecah masuk kedai nasi ayam hingga tular, Oktober lalu.
Muhammad Aidil Yusrimanzi, 21, Muhammad Umar Izwan Hamizan, 19, dan Idel Den Akhmal Razali, 20, mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan pecah rumah kedai milik lelaki berusia 35 tahun di Taman Universiti, Parit Raja, di sini, kira-kira 5.15 pagi, 31 Oktober lalu.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Kamarulariffin Nordin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Terdahulu, mahkamah juga mendengar pembentangan laporan sosial daripada Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat, Faezah Ajmain.
Mahkamah kemudian memerintahkan Muhammad Umar Izwan menjalani perintah khidmat masyarakat 150 jam selama 24 bulan, manakala Muhammad Aidil dan Idel Den Akhmal masing-masing dipenjara empat dan dua bulan.
Disiarkan pada: Disember 19, 2024
|