KASIM
KOTA KINABALU: Sembilan remaja ditahan semasa sedang leka berhibur dalam pesta dadah di sebuah kondominium di ibu negeri minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kesemua suspek berumur 20-an itu ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Semasa ditahan kesemua remaja terbabit termasuk tiga perempuan dan enam lelaki sedang lalok di bawah pengaruh dadah.
“Hasil ujian air kencing menunjukkan kesemua mereka positif empat jenis dadah berbahaya termasuk methapatamine,” katanya semasa sidamg media di IPD Kota Kinabalu di sini.
Kasim berkata, hasil siasatan mendapati kesemua remaja ini baru berkenalan sebelum mengadakan pesta dadah di kondominium yang disewa.
Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (2) untuk suspek yang memiliki dadah.
“Tangkapan adalah antara 23 keseluruhan pesalah dadah yang ditahan BSJN IPD Kota Kinabalu dalam pelaksanaan operasi harian mengekang penyalahgunaan dadah di daerah ini,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Kasim berkata, IPD Kota Kinabalu menggerakkan keseluruhan 25 pasukan task force bagi melaksanakan operasi sepanjang perayaan Hari Krismas sejak awal bulan ini.
“Pada masa sama task force ini juga akan beroperasi sehingga sambutan ambang tahun baharu serta sambutan Jom Heboh pada penghujung bulan ini dalam memastikan keselamatan sentiasa terjamin sepanjang tempoh terbabit.
“Saya juga akan memaklumkan lokasi dan tarikh penutupan jalan untuk kedua-dua sambutan terbabit dalam masa terdekat,” katanya.
|