
CHRISTINA
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) sebanyak RM13.1 bilion dengan sumbangan sektor pelancongan sebanyak 11.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sabah dan 0.72 peratus kepada KDNK Malaysia.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar Pelancongan Langsung (KDNKPL) Sabah mencatatkan pertumbuhan 47.4 peratus atau RM4.2 bilion dengan sumbangan 3.8 peratus kepada KDNK Sabah pada 2023.
Katanya, rekod berkenaan berdasarkan data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan prestasi industri pelancongan Sabah yang memberangsangkan ini disokong oleh sumbangan aktiviti perdagangan runcit sebanyak 43.9 peratus.
Menurutnya, perkhidmatan penginapan serta penyediaan makanan dan minuman menyumbang sebanyak 30.2 peratus manakala, dari segi pertumbuhan, perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus dan perkhidmatan penginapan, makanan dan minuman berkembang sebanyak 2.7 peratus.
"Selain itu, agensi pengembaraan dan penempahan lain, perkhidmatan kebudayaan, sukan dan rekreasi serta perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara menyumbang sebanyak 16.2 peratus.
"Perkhidmatan pengangkutan penumpang serta jualan runcit bahan api kenderaan menyumbang sebanyak 9.7 peratus dan turut mencatatkan pertumbuhan masing-masing sebanyak 4.4 peratus dan 6.1 peratus pada 2023," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) dengan kerjasama DOSM menerbitkan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (ASPW) Sabah 2023.
Katanya, dalam hasil dapatan ASPW Sabah 2023, industri pelancongan di Sabah menyediakan pekerjaan kepada 362,700 orang dengan pertumbuhan sebanyak 7.1 peratus berbanding 2022.
Christina berkata, sektor perdagangan runcit menyumbang 43.9 peratus dan perkhidmatan penginapan dan makanan dan minuman dengan sumbangan 42.1 peratus.
Menurutnya, ia menjadi penyumbang utama guna tenaga dalam industri pelancongan Sabah, dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak 86 peratus pada 2023.
"Secara keseluruhannya, guna tenaga dalam industri pelancongan Sabah menyumbang sejumlah 22.4 peratus iaitu hampir suku daripada jumlah keseluruhan guna tenaga di Sabah.
"ASPW Sabah adalah inisiatif KePKAS di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kerajaan negeri dengan kerjasama rakan strategik DOSM.
"Kerjasama ini terjalin sejak 2022 lagi dalam menerbitkan data-data yang boleh dipercayai dan berintegriti oleh DOSM yang mana ASPW Sabah 2022 yang pertama dilancarkan pada 2023. Penerbitan ASPW Sabah 2023 pada tahun ini adalah penerbitan yang kedua untuk Kerajaan Negeri Sabah," jelasnya.
Beliau berkata, data-data berkenaan adalah bersifat inklusif dan komprehensif iaitu hasil dapatan daripada ASPW secara langsung dapat memberikan para pemain industri dari pelbagai sektor hiliran termasuklah pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (SME), penyedia perkhidmatan seperti penginapan, restoran, pengangkutan, barangan runcit satu indikator yang jelas untuk perancangan perniagaan mereka.
Pada masa sama jelasnya, ia amat penting kepada kementerian khususnya dalam menentukan prestasi pelancongan Sabah.
Menurutnya, ia turut menjadi rujukan untuk digunakan dalam pembentukan dasar bagi merancakkan aktiviti pelancongan negeri selaras dengan pemulihan semula aktiviti pelancongan secara global selepas pandemik COVID-19.
|