Edited by sfhzuraz at 26-12-2024 02:51 PM
Pulau Pinang beri pengecualian tunggakan denda cukai tanah, petak
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
26 Disember 2024 10:43am
Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan memberikan pengecualian tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sebanyak 100 peratus kepada semua pemilik tanah serta petak di negeri ini yang membuat pembayaran dua cukai berkenaan mulai 2 Januari sehingga 28 Februari 2025.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang diadakan pada minggu lalu.
Menurutnya, dalam mesyuarat sama, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan pengurangan tunggakan denda cukai tanah dan petak sebanyak 50 peratus kepada semua pemilik tanah serta petak yang membuat bayaran mulai 1 Mac sehingga 31 Mei 2025.
"Kedua-dua insentif serta tawaran tersebut turut dipanjangkan kepada pemilik tanah atau pemilik petak yang telah menerima Notis Denda 6A (cukai tanah) atau Notis Denda 11 (cukai petak).
"Bagaimanapun, tawaran pengecualian dan pengurangan tunggakan cukai tanah serta cukai petak dinyatakan tidak dipanjangkan kepada pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Kon Yeow, tawaran itu juga bukan berbentuk retrospektif serta tidak boleh dinikmati oleh pemilik tanah atau petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengecualian dan pengurangan tersebut dikuatkuasakan.
"Secara keseluruhan, hasil semakan mendapati bahawa terdapat tunggakan denda lewat yang tinggi melibatkan 40,371 akaun cukai tanah dan 67,537 akaun cukai petak di Pulau Pinang berjumlah hampir RM40.1 juta.
"Sekiranya pemilik tanah dan pemilik petak tidak membuat bayaran cukai tanah serta cukai petak dengan segera, dikhuatiri tanah atau petak mereka akan dilucut hak oleh pihak berkuasa negeri akibat tunggakan bayaran sedia ada," jelasnya.
Menurut beliau lagi, secara umumnya, insentif diskaun yang diberikan oleh kerajaan negeri adalah bertujuan menggalakkan pemilik tanah dan pemilik petak membayar cukai tanah serta cukai petak bagi tahun 2025 pada tempoh lebih awal.
"Selain itu, ia juga bertujuan meringankan beban pemilik tanah serta pemilik petak yang memiliki tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak tinggi akibat tunggakan tidak membuat pembayaran sebelum 31 Mei setiap tahun.
"Justeru, kerajaan negeri berharap agar semua pemilik tanah dan pemilik petak di negeri ini dapat mengambil peluang membuat bayaran masing-masing secepat mungkin mulai 2 Januari 2025 sehingga 28 Februari 2025 bagi membolehkan mereka menikmati pengecualian tunggakan denda sebanyak 100 peratus," katanya.
Tambah beliau lagi, pembayaran boleh dibuat menerusi kaunter hasil Pejabat Daerah dan Tanah atau secara dalam talian melalui portal PgLAND secara sekali gus (lump sum).
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang di talian 04 – 650 5844 / 5847 / 5849 atau Pejabat Daerah dan Tanah di daerah masing-masing.
https://www.sinarharian.com.my/article/704023/edisi/utara/pulau-pinang-beri-pengecualian-tunggakan-denda-cukai-tanah-petak
|