Chiapas, yang terletak di sempadan selatan Mexico, disifatkan oleh badan pemikir InSight Crime sebagai ‘hab penyeludupan utama kedua-dua dadah dan pendatang’. - Foto AFP
MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 15 mayat ditemui di dalam lubang di sebuah negeri tenggara Mexico yang berdepan kegiatan keganasan kartel dadah.
Menerusi ciapan di X, Gabenor Chiapas, Eduardo Ramirez, memperincikan operasi untuk mengembalikan kestabilan di Frailesca, kawasan pertanian berhampiran Guatemala dengan kartel saingan terbabit dalam perang wilayah.
"Malangnya, 15 mayat (ditemukan) setakat ini di kubur rahsia di dua hartanah berbeza," katanya, semalam.
Ramirez berkata, senjata, kenderaan dan dadah dirampas, selain empat orang ditahan, namun tidak memperincikan sama ada mereka disyaki terbabit dalam kes kematian 15 orang itu.
Keganasan berkaitan kartel di Mexico tertumpu pada atau sepanjang laluan penyeludupan dadah, sempadan, dan pelabuhan.
Chiapas terletak di sempadan selatan Mexico dan digambarkan oleh badan pemikir InSight Crime sebagai 'hab penyeludupan utama bagi dadah dan migran'.
InSight Crime berkata, aktiviti keganasan di situ berlaku seiring kemasukan Jalisco New Generation ke kawasan yang dahulunya menjadi kubu kuat Kartel Sinaloa, antara organisasi penyeludupan dadah terbesar di Mexico.
Berdasarkan angka rasmi, Mexico mencatatkan lebih 450,000 pembunuhan dan puluhan ribu orang hilang, sejak operasi anti dadah kontroversial dilancarkan, pada 2006. - AFP
|