Dr Sim menerima cenderamata daripada Dr Liew pada majlis Makan Malam Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 SPMPS di Kuching, malam Jumaat.
KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk segera menyemak dan mengemas kini jadual yuran perundingan Doktor Perubatan Am (GP), yang tidak pernah berubah sejak lebih dua dekad lalu.
Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SPMPS) Dr Liew Shan Fap berkata, ia perlu dilakukan bagi memastikan ganjaran yang adil dan kelestarian jangka panjang untuk perkhidmatan penjagaan utama.
"Sektor penjagaan kesihatan swasta termasuk klinik dan hospital swasta memainkan peranan penting dalam ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia kerana ia sering menjadi pilihan untuk perkhidmatan yang pantas dan cekap.
"Selain itu, kesinambungan penjagaan dengan pesakit yang berjumpa dengan doktor yang sama untuk masalah kesihatan berterusan serta mempunyai hubungan rapat antara doktor dan pesakit lebih memudahkan urusan, bukan sahaja sejarah perubatan tetapi juga konteks sosial dan ekonomi pesakit mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 persatuan itu di sebuah hotel di sini, malam Jumaat.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan turut dihadiri Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.
Sehubungan itu, Dr Liew mahu agar cabaran yang dihadapi oleh pengamal perubatan swasta di Malaysia berhubung dengan jadual yuran perundingan GP semasa diberi perhatian.
Jadual tersebut katanya diperkenalkan pada tahun 2002 dan dimasukkan ke dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta pada tahun 2006, dan ia kekal tidak berubah selepas lebih dua dekad.
"Yuran yang tidak berubah ini mengancam kelestarian amalan GP dan berisiko menjejaskan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan utama," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penjagaan kesihatan swasta mesti kekal dapat diakses dan mampu milik.
"Pada tahun 2021, perbelanjaan kesihatan keseluruhan Malaysia mencecah RM78.2 bilion, mewakili 5.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
"Daripada jumlah itu, 42.1 peratus atau RM32.9 bilion dibiayai secara swasta terutamanya melalui pembayaran tunai daripada poket, insurans dan sumbangan majikan.
"Dengan memastikan perkhidmatan dapat diakses dan mampu milik, kami mengurangkan beban ke atas kemudahan kesihatan awam dan menyumbang kepada masyarakat Sarawak dan Malaysia yang lebih sihat," katanya.
|