Sik: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukan RM6.85 juta bagi membangunkan projek Agro Tourism Pantai Molek di daerah ini yang dijangka siap tahun depan.
Pengurus Besarnya, Ismasuhaimi Shariff, berkata projek yang sedang dijalankan itu membabitkan keluasan 121 hektar yang bakal mempunyai pelbagai kemudahan seperti tapak perkhemahan, kemudahan chalet, dewan serbaguna, rekreasi serta aktiviti lasak.
"Bagi penggemar aktiviti lasak, KEDA menyediakan aktiviti ATV (kenderaan serba rupa bumi atau lebih dikenali all terrain vehicle), dirt bike, kayak, mountain bike, serta pelbagai aktiviti lasak lain disamping menikmati keindahan Tasik Beris.
ISMASUHAIMI (berdiri empat dari kiri) menyerahkan hadiah kepada pasukan APM yang menjadi juara Kejohanan Tarik Tali ‘Tug Of War’ Piala Pengurus Besar KEDA Tahun 2024 di Padang Pejabat Bomba dan Penyelamat Daerah Sik.
"Antara satu lagi fokus pembangunan Agro Tourism Pantai Molek adalah menyediakan trek aktiviti sukan lasak bertaraf antarabangsa, terdapat tiga laluan berbeza tahap kesukaran yang berpotensi untuk aktiviti lasak seperti motisikal dan berbasikal," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Kejohanan Tarik Tali Tug Of War Piala Pengurus Besar KEDA Sik Tahun 2024 di Padang Pejabat Bomba dan Penyelamat Sik di sini.
Mengulas lanjut, Ismasuhaimi berkata trek itu juga dijangka akan membantu negeri Kedah dalam menyediakan atlet sukan lasak terbaik di negeri ini untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, ia juga akan menjadi destinasi penganjuran sukan lasak bertaraf tinggi berkonsepkan Sport Tourism memandangkan trend kini tertumpu kepada pelancongan semula jadi dengan keindahan flora dan fauna.
"KEDA menyokong aktiviti kesukanan di kawasan operasinya dengan menekankan pembudayaan penjagaan kesihatan...bagi daerah Sik saja, RM16,000 dibelanjakan untuk promosi ke arah pembudayaan aktiviti sukan.
"Kita berhasrat untuk menjadikan aktiviti sukan dan rekreasi sebagai salah satu acara sukan tahunan terbuka anjuran KEDA yang menjadi potensi pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Kedah 2025," katanya.
Sementara itu, Ismasuhaimi berkata pada kejohanan tarik tali, pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjadi juara pertandingan itu yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta piala dan pingat.
Manakala katanya, naib juara pula disandang Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Sik dengan hadiah wang tunai RM700 beserta pingat dan tempat ketiga dimenangi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik dengan hadiah wang tunai RM400 dan pingat.
"Penganjuran kita pada kali ini telah menarik sembilan penyertaan daripada pelbagai agensi dan ini merupakan satu permulaan pada tahun ini untuk kita kembangkan lagi kejohanan ini pada tahun hadapan.
"Insya-Allah pada tahun 2025 kita akan adakan sekali lagi kejohanan tarik tali peringkat negeri yang mana akan melibatkan lebih besar penyertaan dan kita akan cuba menarik penyertaan pasukan jemputan daripada luar negara khususnya Thailand .
"Kita harap jemputan tersebut dapat kita mempergiatkan promosi Tahun Melawat Kedah 2025 dan secara tidak langsung ia dapat memberi pulangan atau pun limpahan ekonomi kepada penduduk di daerah Sik," katanya.