Puluhan warga asing mengikuti hari terakhir Program Repatriasi Migran di kaunter Imigresen Johor Bahru di Wisma Persekutuan, hari ini. FOTO FARID NOH
Johor Bahru: Tidak mahu menggadai nyawa dibadai ombak besar, membuatkan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Jawa Tengah, mengambil peluang terakhir mengikuti Program Repatriasi Migran, hari ini.
Pekerja ladang sawit, Hanafi Saputro, 30, berkata beliau mengambil keputusan mengikuti Program Repatriasi Migran, selepas memikirkan keselamatan diri jika pulang melalui jalan tikus atau menerusi ejen haram.
Katanya, beliau sebelum ini sering didekati ejen rakyat Indonesia yang menawarkan 'pakej' pulang ke Indonesia yang kononnya terjamin selamat dan tidak dapat dikesan pihak berkuasa.
"Saya ditawarkan pakej berharga antara RM4,000 hingga RM3,000 untuk jaminan pulang dengan selamat ke Kampung Semarang, Jawa Tengah.
"Bagaimanapun, sejak Mac lalu, ejen menurunkan harga 'pakej' ke RM2,500 seorang dan ramai rakan PATI yang mengambil tawaran berkenaan
"Namun memikirkan keadaan laut bergelora dan pernah membaca kisah tongkang yang membawa PATI pecah dipukul ombak menyebabkan kematian pada penghujung tahun, saya tidak berani menerima tawaran ejen berkenaan walaupun harga pakej diturunkan.
"Lagi pula, jika mengikuti Program Repatriasi Migran ini, saya hanya dikompaun RM500 selain beli tiket feri tidak sampai RM1,000 pun berbanding menghabiskan gaji sebulan jika menerima pakej ejen berkenaan," katanya ketika ditemui.
PATI di sini, mengambil peluang hari terakhir Program Repatriasi Migran hari ini, bagi pulang ke negara asal dengan selamat dan tanpa kerisauan.
Tinjauan di kaunter Jabatan Imigresen (JIM) Johor Bahru di Wisma Persekutuan, di sini, mendapati puluhan warga asing hadir bagi memproses permohonan pulang ke negara asal.
Urusan di kaunter dilihat lancar dan tidak sesak, dengan setiap permohonan yang diproses kakitangan Imigresen mengambil masa antara setengah jam hingga 45 minit.
Pada 31 Januari lalu, Kabinet dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan Program Repatriasi Migran bagi memberi peluang kepada PATI untuk pulang ke negara asal tanpa tindakan pendakwaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, PATI yang terbabit dalam program ini dilaksanakan bermula 1 Mac hingga 31 Disember itu, hanya akan dikenakan kompaun.
Bagi kesalahan memasuki Malaysia tanpa pas sah dan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas dikeluarkan, akan dikompaun RM500, manakala kompaun RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas.
Dalam pada itu, buruh binaan, Andi Tadaand, 35, berkata beliau mengikuti Program Repatriasi Migran, bagi memastikan keselamatan isteri dan bayinya yang berusia 11 bulan, yang turut tinggal bersamanya di Malaysia, terjamin.
"Sebelum ini saya sanggup menggadai nyawa menaiki tongkang memasuki Malaysia dari Lombok, tiga tahun lalu, sebelum disusuli isteri setahun setengah lalu.
"Namun kerana risaukan keselamatan bayi yang masih kecil serta isteri, saya nekad mengikuti Program Repatriasi Migran, walaupun dikompaun RM1,000 untuk diri dan isteri selain RM100 untuk bayi," katanya.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata seramai 30,453 warga asing selain PATI mengambil peluang mengikuti Program Repatriasi Migran di negeri ini sejak 1 Mac lalu sehingga semalam.
Katanya, kesemua warga asing dan PATI berkenaan perlu membuat temujanji secara dalam talian (STO) sebelum diarahkan hadir ke kaunter Imigresen bagi pemprosesan permohonan.
Beliau berkata, kebanyakan warga asing yang mengikuti program berkenaan adalah dari Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan paling jauh membabitkan Syria, Nigeria dan Tajiskistan.
"Alhamdulillah, dengan kaedah temujanji dalam talian ini ia dapat mengelakkan kesesakan di kaunter Imigresen dengan setiap hari seramai 150 diminta hadir bagi pemprosesan permohonan.
"Cuma semalam dan hari ini yang juga hari terakhir, kita benarkan PATI hadir tanpa temujanji sehingga jam 5 petang bagi memastikan mereka dapat mengikuti program ini," katanya.
Disiarkan pada: Disember 31, 2024
|