KUCHING: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) akan terus memainkan peranan penting dalam memacu Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 seterusnya memastikan visi menjadi Sarawak wilayah maju serta berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datuk Ismawi Ismuni (gambar) berkata dengan melaksanakan pelan Pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), RECODA telah melakar pencapaian luar biasa dalam pembangunan infrastruktur dan sosio-ekonomi, memupuk peluang pelaburan, menjana pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh wilayah SCORE.
Beliau menambah pada 2024, inisiatif strategik RECODA terus menekankan integrasi ekonomi bandar-luar bandar, memastikan pertumbuhan seimbang dan peluang saksama untuk semua rakyat Sarawak.
"Pendekatan ini telah mewujudkan landskap yang kohesif. Komuniti berkembang maju bersama, merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.
"Komitmen kami untuk merapatkan jurang bandar-luar bandar terbukti dengan kejayaan melaksanakan 275 projek infrastruktur yang disokong oleh peruntukan Sarawak dan Persekutuan.
"Projek-projek ini termasuk pembinaan jalan raya, jambatan, infrastruktur utiliti, dan inisiatif yang bertujuan membasmi kemiskinan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismawi berkata menerusi tiga Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) iaitu Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), RECODA berjaya menyiapkan 138 projek.
Daripada jumlah itu katanya, 64 projek kini di bawah pelaksanaan sementara 45 lagi dalam reka bentuk, perancangan atau peringkat tender.
Selain itu, antara projek Persekutuan di rantau SCORE, 16 telah siap, sembilan sedang dalam pelaksanaan dan satu dalam fasa reka bentuk terperinci, tambahnya.
Menurutnya lagi wilayah SCORE pada tahun 2024 telah menerima jumlah pelaburan yang diluluskan berjumlah RM123 bilion, dengan unjuran 53,829 peluang pekerjaan baharu diwujudkan.
Di Bintulu, Taman Perindustrian Samalaju (SIP), katanya kekal sebagai asas pencapaian ekonomi, menarik pelaburan global, terutamanya dalam industri pembuatan keluli dan solar.
"Tahun ini, SIP mempunyai 14 pelabur yang diluluskan, dengan jumlah pelaburan yang diluluskan berjumlah RM51.6 bilion, menekankan status Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang kaya dengan tenaga.
"RECODA juga berbangga kerana kerja-kerja kami sejajar PCDS 2030, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Pelan Tindakan Mampan Sarawak, yang mengesahkan komitmen kami terhadap kemampanan dan kemakmuran jangka panjang untuk rantau ini,” jelasnya.
Ismawi menambah, tahun baharu menjanjikan perkembangan yang menarik dngan projek infrastruktur transformatif akan dilaksanakan dalam waktu terdekat ini.
Beliau berkata antaranya adalah Lebuh Raya Pantai Utara (NCH) di Limbang dan Lawas; jalan menghubungkan Miri-Marudi, Marudi-Mulu, dan Long Panai-Long Lama (MMMLL); dan Fasa 1 Lapangan Terbang Lawas baharu - semuanya dijadualkan bermula pada suku kedua 2025.
Projek-projek ini ujarnya akan membawa Sarawak menghampiri visi mempunyai rangkaian jalan raya komprehensif, memastikan kesalinghubungan lebih baik untuk komuniti di pedalaman, membuka peluang-peluang pertumbuhan dan pembangunan baharu.
"Semasa kita melangkah ke tahun 2025, marilah kita meneruskan momentum yang telah kita bina bersama, menerima cabaran dan peluang baharu dengan keazaman dan visi bersama yang telah membawa kita sejauh ini.
"Bersama-sama, kita akan membentuk masa depan Sarawak yang lebih cerah dan mampan," katanya.
|