Nurul Farhana hilang selepas keluar rumah di Taman Sri Jaya, Batu Pahat, Khamis lalu. FOTO Ihsan PDRM
Batu Pahat: "Pulanglah nak, keluarga sangat rindu kamu," rayu Mohamad Nurul Anuar Mohd Din, 35, terhadap anak saudaranya Nur Farhana Shahrul Affendy, 15, yang hilang sejak empat hari lalu.
Menurut Anuar, kehilangan Nur Farhana pada Khamis lalu hanya disedari ahli keluarga selepas dia tidak pulang ke rumah di Taman Sri Jaya, di sini, seperti kebiasaan.
Katanya, sehingga kini ahli keluarga tidak dapat menghubungi remaja itu selepas telefon bimbitnya dimatikan.
"Puas kami mencari di sekitar bandar dan seluruh daerah ini, namun gagal menemui petunjuk termasuk meminta bantuan rakan di daerah lain.
"Hari ini sudah masuk hari keempat kelibatnya tidak kelihatan. Kebiasaannya dia pergi ke rumah rakan dan akan pulang pada waktu malam," katanya ketika dihubungi, di sini.
Menurutnya, keluarga Nurul Farhana bingung memikirkan keselamatan gadis itu, malah tindakannya keluar rumah juga menimbulkan tanda tanya.
Katanya, sepanjang pengetahuannya, Nurul Farhana tidak mengalami masalah dengan keluarganya walaupun sebelum ini dia pernah hilang, tetapi kembali ke pangkuan keluarga.
"Kami hanya mahukan dia selamat, kami bimbang sesuatu akan berlaku ke atasnya. Kami ada cuba hubunginya, namun tidak dapat," katanya.
Berdasarkan maklumat, Nurul Farhana dipercayai keluar rumah dengan membonceng motosikal kenalan lelaki sambil membawa beg pakaian pada 12.41 tengah malam 2 Januari lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan menerima laporan daripada ahli keluarga berhubung kehilangan gadis berkenaan.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Lin Shao Shen di talian 016-6898228 atau Hotline Kontinjen Johor (07-2212999) atau Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat (07-4343999).
Disiarkan pada: Januari 5, 2025
|