Alor Setar: Kerajaan negeri disaran mendaftarkan beberapa produk tempatan antaranya beras wangi, susu kerbau, pulut hitam serta gamat sebagai harta intelek di bawah kategori Petunjuk Geografi (GI).
Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, berkata perkara itu penting bagi memelihara produk berkenaan daripada didaftar negeri lain.
Katanya, antara produk Kedah yang mempunyai keunikan tersendiri untuk didaftarkan adalah beras wangi, susu kerbau, pulut hitam serta gamat dan garam bukit di Langkawi.
"Setakat ini hanya dua produk Kedah yang sudah didaftar di bawah kategori GI iaitu kunyit putih dan anggur Tasik Beris. Sebenarnya Kedah ada banyak produk seperti makanan, kraftangan yang boleh didaftar kerana ia unik dan tidak ada di negeri lain.
"Apabila didaftar, ia dapat dilindungi daripada dirampas pihak tertentu atau didaftar negeri lain. Tetapi GI ini tidak boleh didaftarkan di bawah individu, ia perlu didaftarkan di bawah agensi, komuniti, persatuan atau lebih baiknya kerajaan negeri sendiri," katanya selepas merasmikan pembukaan Pejabat Satelit Alor Setardi Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di sini, semalam.
Mohd Zuhan berkata, produk yang didaftarkan di bawah GI akan lebih bernilai tinggi dan sekali gus dapat menjadi sumber kekayaan baharu buat negeri dan usahawan yang mengusahakan produk berkenaan.
"Macam beras wangi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), ramai yang tidak tahu mengenai produk itu tetapi apabila didaftarkan dengan MyIPO, nilai harga produk itu boleh meningkat dengan lebih banyak apabila ia mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai.
"Sarawak dan Sabah, masing-masing sudah mempunyai lebih 30 produk yang sudah didaftarkan di bawah GI. Jadi, saya berharap kerajaan negeri Kedah dapat berkolaborasi dengan MyIPO untuk mendaftarkan lebih banyak produk supaya ia dapat menunjukkan kehebatan dan menjadi daya tarikan pelancongan Kedah," katanya.
Sementara itu, Mohd Zuhan berkata pembukaan Pejabat Satelit MyIPO Alor Setar adalah sebagai langkah untuk memperluaskan akses perkhidmatan MyIPO kepada masyarakat dan usahawan di Wilayah Utara khususnya di Kedah.