PM Australia Anthony Albanese menjanjikan 'tindakan sebaik mungkin' terhadap Russia jika kematian Oscar Jenkins (gambar) dari Australia disahkan. - Foto AGENSI
SYDNEY: Australia memanggil Duta Besar Russia berhubung laporan seorang lelaki Melbourne dibunuh selepas ditangkap oleh tentera negara itu ketika berjuang untuk Ukraine, kata Perdana Menteri Anthony Albanese, hari ini.
Albanese ketika sidang media berkata, Australia meminta pihak berkuasa Russia untuk segera mengesahkan status Oscar Jenkins dan menyatakan kerajaan kekal 'sangat bimbang' mengenai laporan dia sudah dibunuh.
"Kami akan menunggu pemakluman fakta. Tetapi jika terdapat sebarang kemudaratan yang ditimbulkan kepada Oscar Jenkins, itu benar-benar tidak boleh diterima dan kerajaan Australia akan mengambil tindakan paling tegas," katanya.
Ketika ditanya wartawan, sama ada Australia akan mengusir Duta Russia atau memanggil semula Duta Besarnya di Moscow, Albanese berkata kerajaan akan menentukan tindak balas mereka selepas mengesahkan semua laporan.
Sementara itu, Menteri Luar, Penny Wong, berkata Australia telah mengekalkan 'hubungan sangat sukar selama bertahun-tahun' dengan Russia di bawah pentadbiran pelbagai kerajaan.
"Kami akan meneliti kesemua fakta apabila ia disahkan tetapi saya ingin nyatakan semua pilihan adalah terbuka," katanya kepada ABC Radio, hari ini.
Beliau berkata, Duta Besar Russia dipanggil oleh Kementerian Luar awal minggu ini.
Menurut laporan media Australia, Jenkins adalah seorang guru dari Melbourne yang sedang berkhidmat bersama tentera Ukraine.
Namun pada tahun lalu, dia ditangkap oleh Russia sebagai tawanan perang.
Sebuah video yang dirakam pada masa itu menunjukkan dia yang berpakaian seragam tentera, sedang disoal sama ada dia seorang tentera upahan, menurut satu laporan.
Australia adalah salah satu penyumbang terbesar bukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kepada sokongan Barat untuk Ukraine dan membekalkan bantuan, peluru dan peralatan pertahanan.
Australia melarang eksport bijih alumina dan aluminium, termasuk bauksit ke Russia dan mengenakan sekatan ke atas kira-kira 1,000 individu dan entiti Russia. - REUTERS
|