Uggah bersama Majang (empat kanan), Aidel (lima kanan) serta Cassidy (empat kiri) merakamkan kenangan bersama penerima Anugerah Khas JKR Sarawak pada majlis tersebut. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) optimis semua projek jambatan yang dirancang dan sedang dibina seluruh negeri akan disiapkan menjelang hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
Timbalan Premier yang juga Menteri MIPD Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan siapnya semua jambatan itu nanti, ia akan memendekkan tempoh perjalanan dan tidak lagi bergantung kepada perkhidmatan feri.
“Selain penyiapan projek membina Jalan Pesisir dan Jalan Utama kedua, kita juga membina 15 jambatan, dan saya berasakan kita mampu mempercepatkan pembinaannya terutama projek jambatan yang mana dapat disiapkan penghujung tahun 2025 atau awal tahun 2026.
“Ketika itu, semasa anda memandu dari Kuching ke Miri, anda tidak lagi menyeberangi (sungai) menggunakan feri. Kita mengucapkan terima kasih kepada JKR atas usaha berkenaan dan berharap kita terus bekerjasama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Makan Malam sempena Perhimpunan JKR Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Rabu.
Kerajaan Sarawak kini giat membangunkan infrastruktur termasuk membina jambatan di seluruh negeri yang menggunakan bajet negeri sendiri.
Antara jambatan yang dijangka siap pada tahun 2025 dan 2026 ialah Jambatan Batang Rajang, Jambatan Batang Lupar, Jambatan Sebauh dan yang lain.
Terdahulu dalam ucapannya, Uggah berterima kasih kepada lebih 3,000 kakitangan JKR Sarawak yang berusaha menyiapkan infrastruktur di negeri ini.
Mengenai sasaran penggunaan bajet 100 peratus pada tahun 2024, Uggah berkata, JKR telah mencapai 98 peratus perbelanjaan berbanding 90 peratus perbelanjaan keseluruhan pada tahun sebelumnya.
Justeru, beliau memuji JKR Sarawak yang diketuai Pengarahnya Cassidy Morris atas usaha itu.
Untuk tahun ini katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.31 bilion kepada MIPD iaitu peningkatan kira-kira 64 peratus daripada 2024.
Mengenai laporan projek sakit, Uggah berasakan banyak perkara telah berubah dan dilakukan dengan baik sejak beliau mengambil alih kementerian.
“Namun, saya sudah tanya pengarah mungkin kita boleh lihat proses bagaimana kita boleh perbaiki seperti berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri berhubung projek pembangunan yang diberi tempoh tiga tahun untuk disiapkan akan dikategorikan sebagai projek sakit jika melebihi 100 hari atau lebih daripada tempoh asal.
“Mari kita duduk berbincang tentang perkara ini kerana saya rasa rakyat gembira apabila tidak banyak projek sakit terutama Premier Sarawak,” katanya.
Pada masa sama, Uggah mengucapkan tahniah kepada JKR Sarawak kerana berjaya mencapai Kad Skor yang menunjukkan petunjuk kemajuan pada tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau meminta JKR Sarawak menyemak semula bajet dan merancang perbelanjaan berdasarkan hasil yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada menambah baik pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan kerajaan di negeri ini.
Beliau berkata, bajet berdasarkan hasil disasarkakan dilaksanakan menjelang 2026, bukan bergantung kepada perbelanjaan sebelumnya, tetapi memfokuskan kepada sasaran yang boleh dicapai.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri MIPD Datuk Aidel Lariwoo dan Dato Majang Renggi dan Pengarah JKR Sarawak Cassidy Morris.
|