Jalan Lanang dinaiki air sedalam satu kaki.
SIBU: Beberapa kawasan di sekitar Sibu dilaporkan dinaiki air susulan hujan berterusan dan fenomena air pasang sejak awal pagi tadi. Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Andy Alie, berkata pemantauan pasukan bertugas mendapati empat lokasi utama terjejas akibat banjir.
"Jalan Lanang dinaiki air sedalam satu kaki namun masih boleh dilalui oleh kenderaan.
“Bagaimanapun, tiga kawasan lain, iaitu Jalan Latap, Kampung Banyok dan Jalan Stabau, telah ditenggelami air dan tidak dapat dilalui," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salah satu jalan yang tidak dapat dilalui kenderaan.
Keadaan banjir di salah sebuah rumah panjang di Jalan Stabau.
Beliau berkata keadaan masih terkawal setakat ini dan pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan banjir daripada penduduk.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati, terutama mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Laporan pemantauan yang dijalankan dari jam 9.30 pagi hingga 11 pagi itu turut mendapati cuaca masih hujan renyai-renyai, manakala paras air sungai berada pada tahap pasang.
Sehubungan itu, orang ramai diminta mengutamakan keselamatan serta mengikuti perkembangan cuaca dan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Anggota bomba sedang memantau paras air Batang Rajang.
|