JERUNG Greenland memegang gelaran sebagai vertebrata yang paling lama hidup di bumi. FOTO Agensu/WaterFrame/Alamy
Washington: Jerung Greenland memegang gelaran sebagai vertebrata yang paling lama hidup di bumi, dengan spesies itu dianggarkan mampu mencapai usia 500 tahun.
Portal The Brighter Side melaporkan, pemangsa laut dalam itu yang ditemui di perairan Lautan Atlantik Utara dan Lautan Artik, menarik perhatian saintis kerana jangka hayatnya yang luar biasa.
Kadar pertumbuhannya yang perlahan dan biologi yang misteri menjadikannya subjek penyelidikan berterusan, memberikan pandangan mengenai bagaimana beberapa spesies itu dapat menentang had penuaan.
Penemuan besar dalam memahami jangka hayat jerung Greenland datang daripada pasukan penyelidikan yang diketuai oleh Julius Nielsen, seorang ahli biologi marin di Universiti Copenhagen.
Nielsen dan pasukannya mendapati seekor jerung Greenland dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 272 tahun, dengan beberapa model menunjukkan had umur hampir 500 tahun.
Penemuan ini mengatasi rekod sebelumnya, termasuk paus bowhead yang berusia 211 tahun yang sebelum ini dianggap sebagai vertebrata paling lama hidup.
Menentukan umur jerung Greenland adalah satu cabaran unik bagi saintis.
Kebanyakan spesies ikan boleh ditentukan umurnya dengan mengira lapisan pertumbuhan dalam struktur telinga yang dikenali sebagai otolit, yang sama dengan cincin pokok.
Namun, jerung tidak mempunyai struktur itu menjadikan kaedah penentuan umur secara tradisional tidak berkesan.
Selain itu, jerung Greenland mempunyai struktur klasifikasi minimum, yang menambah kesukaran dalam penentuan umur.
Untuk mengatasi masalah itu, saintis beralih kepada kanta mata jerung yang diperbuat daripada protein yang kekal tidak berubah dari masa ke masa.
Oleh kerana protein paling berkembang ketika jerung masih dalam kandungan, umur mereka boleh ditentukan menggunakan teknik penentuan tarikh radiokarbon.
Dengan menganalisis protein ini, penyelidik dapat menganggarkan umur beberapa jerung Greenland, mengesahkan jangka hayat luar biasa mereka.
Kajian ini memberikan pandangan yang revolusioner dalam biologi laut dalam dan menimbulkan soalan baru mengenai bagaimana jerung ini hidup selama berabad-abad.
Metabolisme mereka yang perlahan dan habitat air sejuk kemungkinan memainkan peranan penting dalam jangka hayat mereka yang panjang, tetapi banyak aspek biologi mereka masih belum dapat dijelaskan.
sumber
|