ARMADILLO akan melanggar atau menyondol apa juga menghalangnya.
Bagi yang kurang mengenali Armadillo, mungkin beranggapan haiwan ini menggerunkan.
Cara spesies mamalia yang berasal dari Amerika Latin dan Amerika Syarikat itu mempertahankan diri dengan bergerak seperti 'kereta kebal' yang melanggar dan menyodok apa saja di hadapannya boleh mengundang kebimbangan
Tidak cukup dengan itu, Armadillo cukup dikenali dengan sifatnya yang ligat melompat.
Dikatakan kebolehannya melompat tinggi sambil menghalakan perisai ke muka musuhnya antara ciri-ciri istimewa haiwan terbabit.
Meskipun ciri-ciri itu membuatkan haiwan terbabit dihindari manusia dan juga musuhnya, Mohd Fairuz Mohd Azman, 39, memilih untuk memiliki haiwan eksotik berkenaan sebagai haiwan kesayangannya.
Dia yang sudah memelihara haiwan eksotik sejak 25 tahun lalu, berkata, karakter haiwan itu lucu dan masih boleh dipegang dengan cara tertentu.
"Sudah namanya haiwan eksotik, Armadillo memiliki cara tersendiri untuk melindungi diri daripada musuh.
"Kalau memahami cara hidup Armadillo di habitat asalnya iaitu kawasan rata berumput, orang akan memahami haiwan ini memiliki sisi 'lembutnya.'
"Armadillo seekor haiwan yang lebih suka keamanan iaitu melakukan aktiviti bersendiri dan hanya mencari pasangan apabila musim mengawan tiba.
"Malah, Armadillo bukanlah spesies haiwan yang suka dipegang dan ada cara tertentu untuk mengangkatnya.
"Meskipun sudah menjadi haiwan peliharaan naluri semula jadi Armadillo tetap juga melompat jika dipegang," katanya.
MOHD Fairuz berjaya memegang Armadillo yang dinamakan Si Senah.
Tambah Mohd Fairuz, Armadillo juga antara haiwan menarik untuk diperhatikan, tingkah dan kerenah lucu haiwan itu boleh membuatkan sesiapa sahaja terhibur. "Rutin Armadillo di habitat asalnya ialah membuat sarang atau tempat tidurnya sendiri dengan mengumpulkan rumput dan daun kering.
"Ketika ia berdiri tegak menggunakan kaki belakang, lagak mamalia itu tidak ubah seperti patung. Pegun sejenak sambil melihat sekeliling.
"Satu lagi yang melucukan apabila cara Armadillo mengangkut rumput dan daun kering sambil melompat-lompat seperti kanggaru untuk ke sarangnya," katanya.
Kata Mohd Fairuz, spesies Armadillo kesayangannya yang diberi nama Si Senah ialah spesies 'Nine Banded Armadillo.'
"Armadillo yang saya pelihara adalah dari jenis yang banyak terdapat di bahagian tengah Amerika Syarikat sehinggalah ke Argentina. "Ia di panggil 'Nine banded Armadillo' kerana mempunyai sembilan jalur di badannya.
"Haiwan tempatan paling hampir rupa dengan Armadillo ialah tenggiling tetapi kedua-duanya bukan daripada keluarga yang sama.
"Persamaan ialah mekanisme kedua-dua haiwan terbabit yang mempertahankan diri menggunakan ciri-ciri tubuh berkulit keras," katanya.
Si Senah, Armadillo kesayangannya itu juga menurut Mohd Fairuz, ia suka mandi.
"Kelebihan yang dimiliki Armadillo untuk menjadi haiwan eksotik berbanding tenggiling ialah tidak perlu lesen.
"Rutin penjagaan Armadillo mudah iaitu jika di habitat asal, ia memakan serangga dan juga haiwan kecil. Sekali sekala akan memakan buah buahan dan sayur sayuran.
"Sebagai haiwan peliharaan, saya memberi Si Senah makan diet tinggi protein seperti ayam rebus, telur rebus, dan dicampur dengan makanan anjing.
"Kadang kala barulah diberi buah seperti betik dan pisang.
"Armadillo juga sangat sukakan air dan ia suka mandi serta berenang. Kulitnya tidaklah begitu keras seperti besi.
"Ia adalah cengkerang berasal daripada tulang haiwan itu sendiri. Ini satu lagi yang membezakan ciri-ciri pada tenggiling yang mana perisainya adalah daripada struktur sama pada tanduk," katanya.
Mohd Fairuz tidak lupa untuk berkongsi aspek penting dalam memelihara Armadillo iaitu penyediaan kotak simpanan yang selesa.
"Memelihara Armadillo memerlukan kotak simpanan seperti akuarium besar yang berpenutup pada bahagian atas.
"Dasar kotak itu perlu ditaburkan pasir atau tanah kerana Armadillo sifatnya menggali dan membuat sarang.
"Perbezaan jantina Armadillo boleh dikenal pasti menerusi fizikalnya iaitu jantan mempunyai berbadan besar dan ekor yang sangat panjang berbanding betina," katanya yang juga pengurus acara dan pengusaha taman haiwan bergerak.
|