Johor Bahru: Masalah kekurangan minyak masak botol di kedai runcit dan pasar raya sekitar bandar raya ini adalah kes terpencil dan dijangka dapat diatasi dalam tempoh terdekat.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, berdasarkan pemantauan, minyak masak botol masih boleh diperoleh di pasar raya dan kedai runcit di bandar raya ini tanpa sebarang masalah.
Menurutnya, pihaknya ada dimaklumkan terdapat sesetengah pasar raya berdepan bekalan terhad.
Katanya, masalah timbul dipercayai akibat permintaan minyak masak botol melambung tinggi pada Ramadan ini.
"Kita yakin ia hanyalah isu sementara dan bekalan dijangka pulih dalam tempoh terdekat.
"Kemungkinan permintaan sepanjang Ramadan ini meningkat, namun kami berharap tiada sebarang pembelian panik berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, minyak masak paket mahupun botol turut boleh diperolehi di Jualan Rahmah Bergerak di seluruh Johor.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata, kerajaan negeri sedang meneliti perkara berkenaan dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sudah dimaklumkan.
"Kami akan memanggil KPDN untuk mencari penyelesaian. Misalnya menyalurkan bekalan ke kawasan lebih ramai penduduk atau menyelaraskan sistem bekalan dan kuota semasa," katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan isu kekurangan bekalan minyak masak botol di kedai runcit mahupun pasar raya sekitar bandar raya ini.
|