View: 3625|Reply: 0
|
Siang berlapar, waktu berbuka 'berpesta makan'
[Copy link]
|
|
Ramadan yang sentiasa ditunggu-tunggu dan dinanti-nanti umat Islam di seluruh dunia, kini dinikmati. Boleh dikatakan seluruh umat Islam amat bergembira dengan kedatangan bulan yang mulia ini. Apatah lagi, sesuatu yang sudah diketahui umum bahawa Allah SWT memberikan ganjaran dan rahmat yang banyak pada Ramadan. Betapa besarnya fadilat bulan ini dapat kita fahami daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud: "Apabila masuk Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu semua iblis dan syaitan."
Allah juga menyediakan ganjaran yang besar dan tidak ternilai harganya kepada orang yang melaksanakan ketaatan pada Ramadan. Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu." (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: "Rasulullah SAW bersabda: 'Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorang pun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu berkenaan. Setelah orang yang terakhir daripada mereka masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Namun, sebagaimana lazimnya dalam masyarakat kita, apabila tibanya Ramadan, mereka akan berbicara tentang persiapan hari raya, beraneka jenis juadah makanan yang akan disediakan untuk dijadikan santapan ketika berbuka dan yang seumpamanya. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan 'berjimat cermat' bertukar menjadi bulan pembaziran.
Fenomena pembaziran yang berlaku dan berleluasa setiap kali menyambut Ramadan amat menyedihkan. Sepatutnya Ramadan mendidik umat Islam berjimat cermat. Akan tetapi yang berlaku sebaliknya apabila masyarakat sanggup berbelanja besar dengan beraneka juadah makanan ketika tibanya waktu untuk berbuka.
Sesuatu yang amat menghairankan juga apabila melihat sesetengah orang ketika berpuasa kelihatan amat lesu dan tidak bermaya, namun apabila tiba sahaja waktu petang untuk membeli juadah, badan yang lesu tadi sudah menjadi cergas serta kuat. Lantas, pelbagai juadah dibeli sehingga melebihi keperluan yang sepatutnya. Mereka seolah-olah ingin 'mengqada' sarapan, makan tengah hari dan makan petang yang ditinggalkan ketika berpuasa, lalu berlakulah banyak pembaziran.
Terdapat dalam kalangan masyarakat Islam yang menjadikan waktu berbuka tidak ubah seperti suasana 'pesta makan'. Masyarakat seolah-olah berusaha untuk mengubah bulan puasa kepada 'bulan makan'!.
Sikap sesetengah umat Islam yang lebih pentingkan pesta menjamu selera pada bulan ini menyebabkan kesucian Ramadan sebagai bulan ibadat tidak dapat dihayati dengan sempurna.
Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya membeli makanan. Cuma Islam mengajar kita supaya berbelanja secara sederhana setiap masa, termasuk sewaktu berbuka puasa. Kita sebenarnya bukan 'hidup untuk makan', tetapi 'makan untuk hidup'. Apabila konsep 'hidup untuk makan' dijadikan pegangan, keadaan ini menyebabkan berlaku kelalaian hingga melampaui batas berbelanja. Tidak cukup dengan juadah yang dimasak di rumah, dibeli lagi makanan di bazar Ramadan secara berlebihan.
Sesuatu yang perlu disedari bahawa tabiat pembaziran yang berlaku pada Ramadan menyebabkan puasa menjadi sia-sia kerana tidak mencapai ketakwaan sebagaimana diharapkan.
Masyarakat Islam perlu sedar puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak hingga mencapai tahap takwa kepada Allah.
Antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan. Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan.
Pembaziran satu sifat yang dilarang keras di dalam Islam. Justeru, Allah mengumpamakan orang yang membazir itu saudara kepada syaitan. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya." (Surah al-Isra ayat 27).
Sayyid Qutb di dalam tafsirnya 'Fi Zilal al-Quran' menjelaskan Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Oleh itu, berbelanja secara berlebihan juga suatu tindakan yang tidak wajar dan membazir.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: "Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah, katanya: 'Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (bersedekah) miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta." (Hadis Riwayat Bukhari )
Jelasnya, segala perbuatan yang menjurus kepada amalan pembaziran baik dalam apa bentuk sekalipun perlu dihindarkan. Tabiat merokok juga pembaziran yang wajib ditinggalkan.
Moga Ramadan tahun ini dapat mendidik jiwa perokok ke arah meninggalkan tabiat itu agar pembaziran dapat dibasmi sama sekali.
Penulis Mufti Pulau Pinang
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
|