View: 8944|Reply: 0
|
Ramadan & gandaan pahala amalan fardu
[Copy link]
|
|
Mungkin kita pernah mendengar sesetengah penceramah menyebut semasa memberi galakan kepada masyarakat Islam yang menjalani ibadah puasa bahawa orang yang menunaikan satu amalan fardu dalam bulan Ramadan, maka pahalanya adalah seperti orang yang menunaikan 70 amalan fardu dalam bulan yang lain. Apakah pernyataan ini ada sumbernya dan bagaimana statusnya?
Pernyataan tersebut sebenarnya berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Salman al-Farisi RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Wahai manusia, telah datang kepada kamu sekalian bulan yang agung lagi diberkati. Bulan yang terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya sebagai fardu dan berqiyam pada malamnya pula sebagai sunat. Sesiapa yang mendekatkan diri padanya dengan satu amalan baik, maka ia seumpama orang yang menunaikan satu amalan fardu pada bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu amalan fardu padanya pula, maka ia seumpama orang yang menunaikan 70 amalan fardu pada bulan yang lain."
Hadis ini agak panjang dan masih terdapat bakinya. Di antaranya, frasa popular yang berbunyi: "Ia adalah bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan daripada api neraka." Frasa ini telah pun penulis jelaskan secara terperinci dahulu.
Keseluruhan hadis telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dalam Fada'il Syahr Ramadhan, Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya, al-Baihaqi dalam Fada'il al-Awqat dan lain-lain. Meskipun Ibnu Khuzaimah mengeluarkan hadis ini dalam Sahihnya, namun beliau masih tidak pasti dengan katanya: "Sekiranya sahih hadis ini."
Ini kerana terdapat pada sanadnya dua orang perawi yang dikritik, iaitu Yusuf bin Ziyad al-Basri yang munkar hadisnya dan 'Ali bin Zaid bin Jud'an yang dinilai ramai pengkritik hadis sebagai daif, manakala sebahagian pengkritik seperti al-Tirmizi, al-'Ijli, Ya'qub bin Syaibah, Ibn 'Adi dan as-Saji menyatakan riwayatnya masih boleh diambil kira.
Apapun, riwayat kedua-duanya disokong oleh jalur riwayat lain, sebagaimana diriwayatkan oleh as-Syajari dalam al-Amali al-Khamisiyyah. Iaitu riwayat Yusuf bin Ziyad disokong oleh 'Abdul 'Aziz bin 'Abdullah al-Qurasyi, manakala riwayat 'Ali bin Zaid disokong oleh Qatadah bin Di'amah, seorang perawi thiqah.
Hadis ini juga direkodkan melalui jalur riwayat yang lain, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Harith bin Abi Usamah dalam Musnadnya. Bagaimanapun, ia dinilai munkar oleh Imam Badruddin al-'Aini dalam kitabnya 'Umdat al-Qari kerana terdapat pada sanadnya Iyas bin Abi Iyas, seorang perawi yang tidak dikenali.
Ringkasnya, jalan-jalan riwayat hadis tersebut saling sokong menyokong antara satu sama lain dan menguatkannya sehingga mungkin dapat dinilai sebagai hasan li-ghairih. Jika ada yang menilainya sebagai kekal daif sahaja pun, ia masih tetap dapat diguna pakai dalam bab fadha'il al-a'mal (kelebihan amal) atau at-targhib wa at-tarhib (galakan dan ancaman).
Jika diamati, matan hadis juga tidak bertentangan dengan dalil lain. Ini kerana gandaan pahala bukanlah sesuatu yang sukar bagi Allah SWT. Malah, tidak mustahil jika ia lebih besar daripada itu bergantung kepada ketinggian iman, takwa dan ikhlas seseorang. Perhatikan hadis daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Setiap amal anak Adam akan dilipatgandakan satu kebaikan kepada sepuluh kali ganda sehingga kepada 700 kali ganda." Allah SWT berfirman: "Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan memberi ganjarannya. Ia meninggalkan syahwat dan makan minumnya semata-mata kerana-Ku." Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika ia berbuka dan kegembiraan ketika ia berjumpa dengan Tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi." (Riwayat Muslim, Ahmad, an-Nasa'i dan Ibnu Majah)
Manakala Ibnu 'Abbas RA telah meriwayatkan mengenai gandaan pahala amalan kebaikan secara umum daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda: "Sesungguhnya, Allah telah (memerintahkan malaikat) menulis segala kebaikan dan kejahatan. Kemudian, Dia menerangkan hal tersebut. Iaitu sesiapa yang berniat melakukan suatu kebaikan, tetapi dia tidak melakukannya, maka Allah akan menetapkan untuknya satu kebaikan yang sempurna. Manakala sekiranya dia berniat melakukan kebaikan, lalu dia pun mengerjakannya, maka Allah akan menetapkan untuknya sepuluh kebaikan (dan boleh digandakan) sehingga 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan yang tidak terkira banyaknya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Demikianlah kurniaan, rahmat dan kemurahan Allah SWT bagi setiap hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Semoga Allah SWT menerima puasa dan amal ibadah kita di bulan yang mulia ini.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
|