CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 16153|Reply: 0

[Buku] Kerja terjemahan terhad walau karya hebat

[Copy link]
Post time 10-3-2025 08:01 PM | Show all posts |Read mode

KUALA LUMPUR: Ranah sastera tempatan tidak kurang karya hebat yang sama taraf atau lebih baik daripada naskhah Barat, malah hal ini pernah diakui oleh sarjana antarabangsa.

Bagaimanapun, ia tidak digali dan dilihat secara adil malah ada sesetengah pihak yang lebih mengagungkan karya luar berbanding naskhah tempatan.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2010, Zaen Kasturi atau nama sebenarnya, Zainal Palit, berkata novel Salina oleh Sasterawan Negara keempat, Datuk Seri A Samad Said disifatkan antara karya besar dan hebat dalam sastera Melayu.

"Bagaimanapun ada juga pandangan dalam kalangan masyarakat sastera kita yang menafikan kehebatan naskhah itu, namun novel itu kekal relevan hari ini," katanya dalam Forum Industri 4.0 yang diadakan di Klana Resort, Seremban, sempena mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) kali ke-48/2025, baru-baru ini.

Forum berkenaan adalah sebahagian daripada Wacana Setengah Abad PEN yang membincangkan topik "Menjana Karya Besar".

Katanya, kehebatan yang terdapat dalam karya-karya Melayu terutamanya naskhah klasik adalah disebabkan ia merekodkan kearifan serta kebijaksanaan tempatan, namun hal sebegitu sudah semakin hilang.

"Misalnya kalau kita tidak kenal Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, maka kita bukan orang Melayu.

"Samalah juga bagi orang Inggeris, jika mereka tidak kenal karya William Shakespeare, maka mereka bukan rakyat di negara berkenaan," katanya.

Zaen Kasturi berkata, di sebalik anggapan karya tempatan yang tidak kurang hebatnya dengan naskhah antarabangsa, ia tidak dapat dinikmati oleh khalayak sastera dunia.

Mengulas lanjut, Zaen Kasturi berkata, hal ini mungkin disebabkan banyak karya hebat tetapi tidak digali dan gagal dilihat dengan secara yang lebih adil.

"Mungkin kita kekurangan sarjana, pengkritik dan penterjemah sedangkan peranan mereka penting.

"Tapi silap kita sebenarnya adalah lebih berpencak silat di tanah sendiri, bukan di tanah orang lain untuk membuktikan karya kita juga hebat" katanya.

Zaen Kasturi turut mempersoalkan langkah sesetengah pihak yang seolah-olah lebih berminat untuk menterjemahkan karya besar dari luar berbanding mengangkat karya tempatan dengan selayaknya.

"Kurangnya usaha untuk menterjemahkan karya sastera Melayu ke bahasa asing menjadikannya seakan-akan terpisah dan dicurigai kehebatannya.

"Saya tidak tahu apa yang dilihat di luar itu sedangkan karya tempatan sebenarnya ada yang lebih hebat," katanya.

Beliau mengakui berasa agak sedih apabila melihat banyak terjemahan karya luar ke dalam bahasa Melayu diusahakan tetapi tiada usaha sebegitu dibuat terhadap naskhah tempatan.

Malah katanya, jika usaha itu ada ia hanya terhad kepada karya beberapa individu sahaja. Justeru beliau menyarankan diwujudkan dana yang berpatutan dalam usaha penterjemahan karya tempatan ke bahasa asing sebagaimana dana yang diperuntukkan bagi aktiviti sastera dan penerbitan buku.

"Sayangnya, seolah-olah sekarang kita bukan hendak melahirkan karya yang besar tapi nak melahirkan buku-buku yang banyak," katanya.

Zaen Kasturi berkata, setiap bangsa memerlukan testimoni pemikiran dan tamadun budaya yang direkodkan menerusi naskhah sastera. Naskhah seumpama itu katanya dianggap sebagai karya agung iaitu karya klasik yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa.

Bagaimanapun, karya besar dan hebat tidak semestinya terhasil daripada sebuah pemikiran mengenai

hal atau isu berkaitan dunia semata-mata sebagaimana yang dianggap oleh sesetengah pihak.

Katanya, dalam konteks melahirkan karya besar, setiap pengkarya perlu menghargai apa sahaja yang ada di sekeliling mereka dengan hati dan jiwa yang besar.

"Jika kita perhatikan pada karya-karya besar dunia, karya itu bukan berdasarkan isu dunia semata-mata, sebaliknya adalah rakaman peristiwa atau perkara-perkara sekeliling yang terdekat dengan penulis itu sendiri," katanya.

Bagaimanapun katanya lagi dalam usaha melahirkan karya besar, sebenarnya ia memang sesuatu yang sukar dan perlu bermula dari bawah, selain ia turut memerlukan ekosistem sastera yang sihat.

Hal ini katanya mampu menjadikan karya sebagai tunjang pemikiran, bukan elemen lain yang kadangkala tidak masuk akal.

"Jika kita melihat kepada Dasar Sastera Kebangsaan (DSK) pada tahun 1970-an dan sekarang ini sudah lebih 50 tahun dasar berkenaan diperkenalkan, namun ke arah mana kita kini?," katanya.

Untuk rekod, DSK dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 16 Ogos hingga 20 Ogos 1971 dengan teras utamanya bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan dalam karya sastera yang disasarkan berfungsi sebagai wahana pembentukan nasional.

Bagaimanapun DSK belum dimaktubkan secara perundangan justeru sebelum ini agenda berkaitan kesusasteraan kerap keciciran terutama di peringkat negeri.

Sumber: BH Online


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-3-2025 08:39 PM GMT+8 , Processed in 0.951769 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list