KEADAAN motosikal ditunggang anggota polis yang dikatakan bertembung dengan sebuah lori dekat Kilometer 9, Jalan Gemencheh - Batang Melaka, malam tadi. FOTO Ihsan Polis.
Tampin: Anggota polis maut selepas motosikal ditunggang dikatakan bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan dekat Kilometer 9, Jalan Gemencheh - Batang Melaka, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke Kuala Pilah dari Simpang Renggam, Johor.
"Kemalangan membabitkan anggota dari Balai Polis Tanjung Ipoh, Kuala Pilah itu dalam perjalanan dari Simpang Renggam ke kuarters Balai Polis Tanjung Ipoh dengan menunggang motosikal Yamaha Y15ZR.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa berusia 33 tahun dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan nombor pendaftaran tidak pasti yang berada di hadapannya.
Bagaimanapun, Amiruddien berkata, mangsa dikatakan berlanggar dengan sebuah lori Hino dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dari arah bertentangan. "Pemandu lori dipercayai cuba mengelak tetapi terlanggar penunggang motosikal.
"Akibat kemalangan, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat yang dijangka jam 10 pagi ini.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini diminta ke Balai Polis Trafik Daerah Tampin atau hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Afiqah Aqwa Haslan di talian 064412502 bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
|