CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1969|Reply: 0

Iftar Ramadan perkukuh hubungan persaudaraan

[Copy link]
Post time 11-3-2025 01:10 PM | Show all posts |Read mode

Bulan Ramadan sangat menakjubkan. Ia bukan setakat ibadah puasa di siang diikuti solat tarawih, bertadarus al-Quran semata-mata tetapi juga memiliki amalan budaya sihat sesama Muslim. Jika dahulu majlis berbuka puasa hanya dilakukan di rumah, masjid dan surau sahaja, tetapi perkembangan semasa menyaksikan masyarakat mula mengorak pelbagai kaedah dan cara yang lebih kreatif, misal menganjurkan iftar terbuka di padang ataupun di dataran.

Misalnya, majlis iftar yang yang diadakan di satu-satu kawasan tertentu secara terbuka seperti di padang mahupun di persekitaran laman masjid telah menjadi satu 'trend' yang menarik perhatian banyak pihak. Meskipun, tujuan asalnya majlis iftar berkenaan diadakan semata-mata mahu mewujudkan satu ruang yang lebih selesa dan terbuka untuk mereka yang berpuasa menikmat makanan berbuka beramai-ramai (berjemaah) bersama rakan taulan dan ahli keluarga.

Malah, majlis iftar sebenarnya telah memberikan kemudahan kepada para musafir tanpa perlu mengeluarkan belanja yang tinggi. Majlis baik seperti itu seharusnya diterima dengan hati terbuka oleh kita semua memandangkan iftar secara berjemaah di tempat terbuka berkeupayaan menimbulkan rasa kebersamaan dan sekali gus menyemarakkan hubungan ukhuwah sesama ummah dapat digerakkan.

Tentunya majlis iftar yang dilangsung di kawasan persekitaran laman masjid menjadi satu lagi usaha terbaik dalam mengajak masyarakat Islam mendekati Rumah Allah. Apa tidaknya, sebaik sahaja berbuka secara ala kadar, mereka bersegera ke dalam masjid mencari ruang solat bagi menunaikan ibadah solat Maghrib secara berjemaah. Tidakkah ini strategi dakwah yang berkesan?

Mungkin sebelum Ramadan, solat Maghrib secara berjemaah jarang dilakukan di masjid/surau, namun apabila kita hadir ke majlis iftar terbuka sebegini, hati tergerak untuk terus berada di dalam masjid. Mungkin sebelum ini, kita sekadar mengetahui dan memahami tetapi kurang menghayati sabda Rasulullah SAW yang memberitahu umatnya tentang kelebihan solat berjemaah di masjid/surau sahaja, tetapi dengan adanya majlis iftar, insya-Allah Allah akan memberikan hidayah-Nya untuk seseorang itu terus menguatkan naluri hati mencari ruang solat demi mendirikan solat berjemaah. Alhamdulillah, ini satu wadah dakwah yang ampuh mengajak masyarakat mencintai Rumah Allah.

Kita sudah lazim dengan pesanan daripada Rasulullah SAW ini: "Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat." (Hadis riwayat Imam Muslim) namun kemungkinan atas pelbagai kekangan usaha untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid/surau terbantut begitu sahaja.

Jadi dengan adanya majlis iftar, ia secara tidak langsung merungkai kekangan yang membelenggu hasrat kita untuk berjemaah di masjid. Tidakkah ini kesan baik yang membantu masyarakat menjadikan majlis berbuka dan solat berjemaah terikat dalam satu aktiviti.

Solat berjemaah bagi orang lelaki adalah di masjid dan merupakan suatu perkara yang sangat dituntut di sisi syarak. Terdapat banyak nas yang menunjukkan kepada galakan perbuatan tersebut. Antaranya sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran." (Hadis diriwayat Ibnu Majah)

Jadi, dengan adanya majlis iftar, ia telah membuka jalan untuk seseorang itu menunaikan apa yang disarankan Baginda Nabi SAW dengan mendirikan solat berjemaah. Di samping itu, majlis iftar secara terbuka untuk masyarakat umum itu atau dapat kita istilahkan sebagai 'Majlis Berbuka Rakyat' dapat menjadi asbab kepada terbina hubungan ukhuwah yang erat. Mungkin selama ini hubungan itu kurang dirasakan, namun tatkala menikmat menu hidangan dan juadah berbuka puasa, keeratan rasa kebersamaan sesama umat Islam terpaut dengan lebih utuh.

Hubungan yang mesra adalah fenomena unik yang terzahir semasa majlis iftar. Ini gambaran betapa usaha pihak-pihak tertentu telah menjadi pemangkin kepada lahirnya jiwa berkasih sayang sesama umat Islam.

Baginda Rasulullah SAW sebenarnya sangat mengambil berat isu kasih sayang sesama umatnya. Ini dapat dilihat menerusi satu sabdanya yang menyebut: "Orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah siapa yang di bumi, nescaya kalian akan dikasihi siapa yang di langit." (Hadis diriwayat olah Imam Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi- Hasan sahih)

Baginda Rasulullah SAW juga ada menegaskan: "Sesungguhnya yang Allah kasihi daripada kalangan hamba-Nya ialah orang yang bersifat kasih sayang." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru,

majlis iftar sememangnya mampu merealisasikan hasrat Baginda Rasulullah SAW yang mahu melihat umatnya saling berkasih sayang dalam kemesraan.

Tambah membanggakan kita ialah apabila bentuk hubungan ukhuwah itu dibentuk dalam bulan Ramadan yang berkat ini. Ia seolah-olah menjadi tongkat ajaib yang boleh menyahkan segala sifat mazmumah yang mungkin sebelum ini berada di dalam diri.

Selain itu, majlis iftar terbuka itu juga dilaporkan telah menarik perhatian pelancong asing yang bukan beragama Islam untuk turut bersama menyertainya. Mereka tanpa segan silu sanggup bersila untuk sama-sama berbuka puasa dengan masyarakat Islam yang lain. Tidakkah ini juga satu wadah dakwah yang memberikan gambaran tentang keindahan hidup orang Islam?

Secara tidak langsung rasa fobia atau Islamofobia dapat ditangani. Paparan majlis yang saling bermesra dan sikap penerimaan orang Islam terhadap pelancong yang bukan Islam untuk sama-sama menikmati juadah berbuka puasa bakal menyuntik rasa teruja sekali gus memberikan cerita sahih dan saksi paling berkesan terhadap keindahan hidup yang digariskan oleh agama Islam.

Jadi, majlis iftar terbuka itu sebenarnya mempunyai banyak natijah yang positif dalam memupuk hubungan ukhuwah sesama ummah dan turut menjadi jambatan yang menghubungan antara masyarakat Islam dengan mereka yang bukan Islam dalam satu aktiviti sosial.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah


Sumber: Harian Metro

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-3-2025 07:46 PM GMT+8 , Processed in 1.077575 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list