CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7245|Reply: 0

[Sabah] DBKK audit bangunan berusia lebih 40 tahun

[Copy link]
Post time 11-3-2025 06:24 PM | Show all posts |Read mode

Kota Kinabalu: Pemilik premis di Bandaraya ini diarah melaksanakan ujian keteguhan struktur dalam kadar segera bagi memastikan keselamatan awam.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pihaknya kini sedang menjalankan pengauditan dan surat peringatan juga dikeluarkan kepada semua pemilik bangunan, termasuk kedai, pejabat dan bangunan yang dihuni orang awam.

“DBKK sedang membuat pengauditan kepada semua bangunan di bawah jagaan DBKK yang berusia lebih 40 tahun, termasuk kedai, bangunan pejabat, flat dan juga kondominium, terutama sekali bangunan yang dihuni oleh orang awam sama ada disewa ataupun diuruskan oleh syarikat pengurusan.

“Jika diurus oleh syarikat pengurusan, kita memang menghantar surat peringatan kepada mereka untuk membuat pemeriksaan integriti kepada bangunan tersebut.

“Setakat ini, kita tidak memberikan tempoh namun kita meminta mereka membuat tindakan itu dengan segera.
“Bagaimanapun, disebabkan oleh kejadian runtuhan baru-baru ini kita akan melihat kembali tempoh tersebut,” katanya, mengulas tindakan DBKK berhubung insiden lantai bangunan kedai yang runtuh di Segama, malam Jumaat lalu.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Kejadian itu menyebabkan seorang wanita mengalami patah kaki selepas dihempap ​​runtuhan ketika berada di tingkat bawah restoran dua-tingkat yang dikendalikan anaknya itu. Suaminya juga cedera ringan.

Mujurlah, pelanggan restoran yang mengkhusus dalam masakan Cina Muslim itu telah beredar selepas berbuka puasa pada pukul 7.50 malam.

Difahamkan, tingkat satu yang runtuh itu dijadikan tempat penginapan. Runtuhan itu mewujudkan lubang besar pada struktur tingkat pertama. Ia dipercayai berpunca daripada lantai yang menjadi lemah kerana usia bangunan itu.

Sementara itu, Sabin berkata kunjungan tersebut bertujuan untuk menjemput Tun Musa hadir ke Majlis Berbuka Puasa DBKK yang akan diadakan di ibu negeri, esok (Rabu).

“Pada pagi ini, kami daripada DBKK memaklumkan kepada Tuan Yang Terutama Tun dan menyampaikan jemputan Majlis Berbuka Puasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu pada 12 Mac ini.

“Majlis ini akan dihadiri lebih kurang 1,000 orang dan kebanyakannya terdiri daripada pegawai dan staf DBKK. Antara program yang kita adakan pada hari tersebut ialah penyampaian bantuan kepada anak-anak yatim.

“Ketua Menteri juga akan bersama-sama dengan beberapa pegawai kabinet lain akan hadir dalam majlis tersebut, selain pegawai tinggi dan kanan kerajaan negeri dan Persekutuan,” jelasnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Khidmat Pengurusan Faradillah Abdul Rani dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Luar Bandar Karaim Rahim.


Sumber: Harian Ekspres

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-3-2025 07:56 PM GMT+8 , Processed in 1.700977 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list