Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya juga akan merekodkan kenyataan daripada 23 saksi baharu dalam siasatan berhubung kes yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu.
Azam turut memaklumkan sijil cuti sakit (MC) Ismail Sabri tamat pada Rabu (12 Mac).
"Beliau (Ismail) dijangka tiba di pejabat SPRM sekitar pukul 10 pagi Khamis.
"Saksi tambahan seramai 23 orang pula, mereka akan dipanggil secara berperingkat dalam beberapa hari akan datang untuk membantu siasatan," katanya pada Selasa.
Azam dalam pada itu turut menolak dakwaan siasatan terhadap Ismail Sabri bermotifkan politik.
"Tiada siasatan terpilih, kami menjalankan kerja kami secara profesional," katanya lagi.
SPRM sebelum ini menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa, serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta, ketika menjalankan operasi di beberapa premis yang dipercayai sebagai 'safehouse' hasil risikan terhadap empat pegawai Ismail Sabri.
Untuk rekod, Ismail Sabri memberikan keterangan kepada SPRM pada 19 Februari lalu, dan dia tidak dapat berbuat demikian ketika dipanggil semula kerana dirawat di hospital.
Sumber:The Star
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register