CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3630|Reply: 0

[Sarawak] Loji CCGT Miri hasilkan hidrogen Disember 2027

[Copy link]
Post time 12-3-2025 12:07 PM | Show all posts |Read mode
Bakal menyaksikan Sarawak terus mengorak langkah sebagai peneraju tenaga hijau di rantau ini



Abang Johari bertukar pandangan dengan Takuya semasa menerima kunjungan hormat daripada delegasi Mitsubishi Heavy Industries di Wisma Bapa Malaysia hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Loji Jana Kuasa Turbin Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri yang dibangunkan secara usaha sama antara Sarawak dan Mitsubishi Heavy Industries (MHI) akan mula menghasilkan bahan api daripada sumber hidrogen Disember 2027.

Loji itu dijadual mula beroperasi pertengahan Disember 2027 bakal menyaksikan Sarawak terus mengorak langkah sebagai peneraju tenaga hijau di rantau ini.

Pengurus Besar Kanan, Bahagian Perniagaan CCGT, Sistem Tenaga Mitsubishi Heavy Industries Ltd (MHI) Takuya Murase berkata loji jana kuasa berkenaan bukan sekadar projek tenaga biasa, tetapi permulaan kepada kerjasama erat antara Sarawak dan MHI dalam teknologi hidrogen.

“Kami telah menerima tempahan untuk membekalkan loji jana kuasa CCGT di Miri, yang direka khusus untuk menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar.

“Ini merupakan pencapaian besar dalam memperkukuh masa depan tenaga hijau di Sarawak,” katanya seperti dilaporkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Takuya  berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai delegasi MHI mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Takuya menambah, proses pengeluaran turbin gas bagi loji tersebut akan bermula tahun depan, dengan penghantaran ke Sarawak dijangka dilakukan sekitar pertengahan tahun sama, sebelum loji itu mula beroperasi secara komersial pada penghujung 2027.

Beliau yang pertama kali mengunjungi Sarawak turut menyatakan rasa kagumnya terhadap kepesatan pembangunan negeri ini.

“Saya ingin melihat sendiri perkembangan pesat Sarawak di lapangan. Saya juga akan ke Miri esok (Rabu) untuk berbincang lanjut mengenai projek ini,” tambahnya.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Naib Presiden Kanan Mitsubishi Power Asia Pacific Kazuki Ishikura, Pengurus Besar Mitsubishi Heavy Industries Kuala Lumpur (MHI-KL) Daisuke Wakasugi, Pengurus Besar Kanan Mitsubishi Power Asia Pacific Ong Hui Leong serta Ketua Cawangan Mitsubishi Power Asia Pacific Masato Sakamoto.

Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sarawak Datu Abang Ahmad Abang Morni dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad Datuk Sharbini Suhaili, juga hadir sama.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-3-2025 06:59 PM GMT+8 , Processed in 0.240782 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list