
Senapang patah yang dirampas dalam serbuan tersebut. - Gambar polis
SIBU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas polis menemui selaras senapang patah buatan sendiri, enam butir peluru 12-gauge, serta dadah jenis syabu seberat 6.18 gram dalam satu serbuan di sebuah rumah di Ladang Lengan, Jalan Batang Lebaan, Tanjung Manis semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, serbuan itu dijalankan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada jam 2.50 petang.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kedua-dua suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah serta kaitan mereka dengan senapang patah yang dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia antara 20 hingga 35 tahun kini direman di Mahkamah Sibu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara minimum dua tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan berkaitan dadah, manakala pemilikan senjata api tanpa lesen boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
Zulkipli turut menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan pemilikan senjata api tanpa lesen dan penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
|