CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 168|Reply: 0

[GAMBAR] Memori di sebalik duit, kuih dan kad raya

[Copy link]
Post time 5-4-2025 06:34 PM | Show all posts |Read mode

DAH dengar bunyi dum dam dum dam, bunyi mercun? Itu senario biasa di kala Ramadan dan Syawal menjelma. Kalau mereka yang di perantauan pula, pesta lampu merah kereta di waktu malam beberapa hari sebelum perayaan menjadi penyeri lebuh raya.

Bila tiba hari raya, kanak-kanaklah antara orang yang paling seronok untuk menyambutnya. Kalau lihat zaman sekarang, keterujaan kanak-kanak kini tidak sama berbanding kanak-kanak zaman dulu. Suasana raya juga sudah banyak berbeza.

Dahulu, bila tiba hari raya, apa yang bermain dalam fikiran kanak-kanak? Sudah pastinya duit raya. Tapi waktu itu kalau siapa puasa penuh dapat duit lebih. Kalau puasa tak cukup, kurang lah hasilnya.

Lepas sahaja sembahyang raya, semua dah bersiap sedia nak menjelajah ke rumah jiran-jiran untuk kutip duit raya. Tapi Ambo dulu kalau jalan kutip duit raya, tak jalan ramai-ramai. Sebab dah tahu, kalau pergi ramai dapat duit sikit. Kalau jalan dua orang, dapat lebih sedikit.


Ambo ingat satu kenangan masa sesi kutip duit ni. Pagi tu, Ambo pergi beraya di rumah jiran. Masa nak balik, macam biasalah dia bagi sampul duit raya. Bila keluar sahaja dari pagar rumah, terus buka sampul duit. Tengok-tengok tuan rumah bagi RM5. Banyaklah untuk zaman itu. Biasanya kalau pergi mana-mana rumah, dapat seringgit jer.

Tengok macam tu, dalam kepala dah fikir strategi macam mana nak pergi semula ke rumah jiran itu. Fikir punya fikir, akhirnya dapat idea. Ambo pergi jumpa kawan-kawan yang lain dan ajak pergi rumah tu sekali lagi. Sebelum tu, Ambo balik rumah tukar baju dulu.

  Siap semua, berjalanlah pergi ke rumah tu sekali lagi. Lepas semua makan, kami pun beratur nak ambil duit raya. Masa tu Ambo belakang sekali. Kawan Ambo yang sama-sama pergi kali pertama tadi berbaris di tengah-tengah.

Masa tu tak silap kami pergi dalam tujuh orang. Ambo perhatikan dulu kawan Ambo tu. Sampai giliran dia salam, tuan rumah bagi duit. Bila sampai giliran Ambo, tuan rumah pun tengok atas bawah.

“Eh! Bukan dah datang ke tadi?”tanya tuan rumah.

“Mana ada,” spontan keluar dari mulut Ambo.

“Ye ke? Rasa dah bagi tadi. Dah-dah. Tak payah bagi lagi. Saya cam budak besar ni,” kata isteri tuan rumah itu.

Menyirap rasa waktu tu. Kawan Ambo lepas, giliran Ambo pula yang sangkut. Ye la, mahu tuan rumah tak perasan, yang lain datang semuanya kecil-kecil, datang yang badan besar macam Ambo, mudah lah dia cam. Waktu tu bukan reti malu. Nak marah adalah.

Tapi itu biasa. Budaya kutip duit kita tengok sekarang ni dah tak ada sangat dah. Budak-budak sekarang dah tentu dapat duit raya daripada saudara-mara dan juga kawan-kawan ibu ayah mereka. Betul tak? Tapi kanak-kanak dulu, ada yang sanggup naik bas semata-mata nak kutip duit raya ni.

Itu bab kutip duit. Satu lagi kenangan raya yang sukar dilihat pada hari ini bab membuat kuih raya. Sekarang ni ramai yang buat kuih tunjuk jer. Tunjuk-tunjuk, lepas tu bayar. Dah siap kuih. Kan?


Dulu semua kuih buat sendiri. Cabaran utama ialah bau kuih. Fuh! Tambahan bulan puasa, memang mencabar iman. Ingat tak dulu kalau mak-mak buat kuih mereka tengok resipi dari mana? Kalau tak dapat daripada kawan, dari televisyen atau pun buku. Siap ada kitab masakan sendiri tu.

Semangat mereka tunggu depan TV tengok chef mengajar buat kuih raya. Ambo ingat lagi, siaran televisyen kalau bulan puasa waktu petang biasanya program masak-memasak. Chef akan ajar cara membuat kuih raya. Mak-mak ni pun tunggulah depan televisyen sambil menulis resipi yang chef ajarkan.

Waktu tu tak boleh kacau. Kalau kacau, mesti kena marah. Nak minta apa-apa pun tunggu masa iklan. Bukan apa, takut terlepas resipi yang chef bagi. Dah habis program tu, barulah bergerak ke dapur nak masak untuk berbuka. Sebelah malam, baru buka balik kitab yang ditulis petang tadi.

Tiba masa raya, jiran-jiran pun datang ke rumah. Perasan tak kalau mak-mak datang ke rumah, mereka akan lihat biskut raya dulu. Kalau ada biskut yang nampak lain dari biasa, mereka akan minta resipi.

“Biskut apa ni? Sedap. Minta resipi.”

Terpaksalah keluarkan balik kitab, semua yang ada pakat-pakat salin. Kitab tu pun bukan buku yang cantik pun, ada kalanya buku latihan anak yang tak pakai, ataupun buku log yang kulit keras tu.

Yalah, kalau dulu biskut yang biasa nampak macam suji, dahlia, semperit, makmur dan kuih bangkit. Tapi bila nampak ada biskut almond london atau biskut cornflakes kat atas meja, tu yang buat semua minta resipi. Tapi sekarang, macam-macam biskut dah ada, cuma kemeriahan buat biskut itu semakin berkurangan.


Suasana paling seronok apabila tiba malam pengumuman raya. Malam itu selepas makan, semua akan berkumpul depan televisyen untuk menanti penuh debar pengumuman raya. Dalam hati minta supaya esok raya. Tapi bila umum raya lusa, terus rasa sedih. Maknanya esok kena puasa lagi sehari.

Ia berbeza dengan mendengar pengumuman puasa. Kalau waktu dengar pengumuman puasa, selalu minta supaya puasa ditangguhkan. Hahaha… Kalau umum esok puasa, terus jadi malas. Betul tak?

Satu lagi suasana yang sudah pupus pada masa kini adalah kad raya. Dulu kalau awal puasa tu dah sibuk membeli kad. Kalau hantar lambat, mesti kad dapat lepas raya. Dari awal puasa lagi di tepi-tepi jalan, ramai yang membuka kedai menjual kad raya.

Ada macam-macam gambar. Kena pilihlah. Kalau hantar kepada kawan-kawan pilihlah yang gambar ketupat, gambar kucing, atau gambar kartun. Tapi kalau nak hantar untuk buah hati, kena beli yang mahal sedikit. Saiz pun kalau boleh yang besar. Kalau ada duit lebih, beli yang ada bunyi. Bila buka kad, keluar muzik. Fuh, memang bangga bila dapat kad macam tu.


Dulu, kalau siapa dapat kad paling banyak, kira dia ni popularlah. Tambahan pula kalau perempuan. Yang mana dapat kad raya paling banyak, dia tergolong dalam perempuan cantik dan terhangat di pasaran. Lelaki jarang dapat kad banyak. Tapi kalau ada juga, kira dia lelaki kegilaan para gadis lah.        

Kalau dah beli kad raya, masalah kedua adalah nak mengarang ayat pula. Setakat kawan-kawan tak ada apa, tapi yang payahnya nak mengarang ayat untuk cinta hati ni. Terpaksalah belek novel-novel nak dapatkan ayat-ayat power. Lepas tu baru boleh mengarang. Bukan sekejap nak cari idea mengarang untuk kekasih hati ni tau. Susah. Cuba tanya ayah kat sebelah tu betul ke tak? Hahaha…

Nak suruh kawan buat, tak boleh. Nanti pecah lubang pula. Jadi terpaksalah mengarang sendiri. Karangan ayat kalah nak jawab peperiksaan. Masa peperiksaan tak pula beria-ia sebegitu.

Kalau masalah kedua dah selesai, timbul pula masalah ketiga. Masalahnya ialah nak menulis atas kad tu. Kalau dah tulisan macam cakar ayam, nak tulis macam mana. Lagi pun kalau silap tulis, nak padam dah jadi tak cantik. Terpaksalah pula berlatih menulis ayat atas kertas kajang dulu sebelum tulis atas kad tadi. Itu pun makan masa berjam.

Zaman itu semua sudah berlalu. Sekarang ini semua menggunakan teknologi. Hantar ucapan hanya melalui aplikasi sosial seperti Facebook dan Whatsapp saja. Semua hidup dengan gajet. Silap-silap budak-budak sekarang datang rumah beraya pun dah tak minta duit raya, tapi minta password wi-fi.  Tapi itulah, kita tidak boleh lari daripada peredaran zaman.

Setiap masa dan waktu, ia sentiasa berubah dan berubah. Cuma kenangan yang kita bawa dalam memori kita. Kelmarin sudah berlalu, esok apa yang akan berlaku kita belum pasti. Jika dipanjangkan umur, tentu sahaja kita akan dapat melihat perbezaan yang jauh lebih ketara berbanding dahulu dan kini.

Selamat Hari Raya!

Nukilan : Mohd Ikhwan Abd. Ghani @ Ambo, Kota Bharu, Kelantan.





This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-4-2025 11:59 PM GMT+8 , Processed in 3.050549 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list