|
Presiden mahu ganti dengan Laut Filipina Barat\rMANILA: Presiden Benigno Aquino menggesa rakyat Filipina tidak menggunakan Laut China Selatan sebaliknya menggunakan nama Laut Filipina Barat dan Tebing Reed sebagai Tebing Recto, untuk mengukuhkan tuntutan negara itu ke atas kawasan dipertikaikan itu.\r\n\n\n\n\rJabatan Hal Ehwal Luar dan Pertahanan, termasuk stesen kaji cuaca milik kerajaan, Pentadbiran Atmosfera, Geofizik dan Perkhidmatan Astronomi Filipina (Pagasa), sudah menggunakan ‘Laut Filipina Barat’ sebagai rujukan kepada bahagian air yang berhadapan barat Filipina, kata jurucakap presiden Edwin Lacierda.\r\r\n\n\n\n\nMalah Vietnam sendiri menggelar bahagian air itu sebagai Laut Timur, kata Lacierda.\rSebagai mempertahankan rancangan itu, anggota kongres Walden Bello, berkata meneruskan penggunaan ‘Laut China Selatan’ bagi merujuk kepada bahagian air di kawasan barat Filipina sebagai ‘mengelirukan’, menambah bahawa menggunakan nama lama sama ertinya untuk menghormati tuntutan China ke atas kawasan yang dipertikaikan beberapa negara serantau itu.\rPerubahan nama itu dicetuskan sains dan bukan politik, jelas Penolong Setiausaha Jabatan Sains dan Teknologi (DoST), Graciano Yumul.\rAgensi meteorologi biasanya menggunakan nama bahagian air berdasarkan orientasi tanah, kata Yumul, menambah laporan cuaca dari Pagasa menggunakan Laut Filipina Barat berbanding Laut China Selatan.\r\n\n\n\n\rSementara itu, Tebing Reed seluas 71,000 kilometer persegi, terletak di dalam Laut China Selatan juga akan dipanggil Tebing Recto, sempena nama bekas tokoh nasionalis Filipina, Senato Claro M Recto, kata Lacierda.\r“Pentadbiran sentiasa menegaskan ia akan menolak sebarang tuntutan terhadap apa yang dianggap bahagian penting jajahan Filipina, seperti Tebing Recto (Tebing Reed) di barat Palawan,” kata Lacierda.\rTebing itu terletak 250 kilometer dari Palawan di barat daya Filipina, kata Lacierda, menambah ia terletak 500 batu nautika dari China.\rFilipina juga mengiktiraf keputusan Persidangan Nasional berhubung Perundangan Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) yang memberi mandat kepada sebuah negara untuk membuat tuntutan ke atas jajahan dalam jarak 200 batu nautika dari sempadannya.\rApabila ditanya untuk menjelaskan kekurangan kuasa tentera laut negara itu, Lacierda berkata, “Pentadbiran bertekad memperbaiki keupayaan tentera kami dan Pengawal Pantai untuk membolehkan kawalan berkesan dan perlindungan jajahan nasional kami dan zon ekslusif ekonomi.” – Agensi\r
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|