|
Ghairah ke pesta buku bukan kayu ukur minat membaca\rSTIGMA masyarakat Malaysia khususnya generasi muda yang kurang membaca masih kuat melekat sehingga dianggap pembaca beberapa halaman atau satu dua buku setahun, biarpun petunjuk di pesta buku dan kedai buku memberi isyarat sebaliknya.\r\n\n\n\n\rSaban tahun, kita menyaksikan kebanjiran pengunjung ke pesta buku termasuk pesta buku murah dengan sebahagian besarnya daripada kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta anak muda.\r\r\n\n\n\n\nMalah, mereka juga mengambil kesempatan daripada potongan harga yang ditawarkan di pesta buku atau lambakan buku murah sehingga seolah-olah mereka ‘berborong sakan’ buku dan majalah yang dijual.\rBagaimanapun Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ariff Mohamad, menganggap kunjungan ke pesta buku tiada kaitan dengan data mengenai amalan dan budaya membaca dalam kalangan rakyat di negara ini.\r“Kebanyakan daripada generasi muda suka membeli novel yang sesuai dengan cita rasa mereka, manakala buku ilmiah pula dibeli kerana membabitkan tugasan pembelajaran mereka di universiti atau kolej.\r“Sesetengah kunjungan ke pesta buku pula bertujuan untuk mendapatkan siri tertentu novel yang mereka minati ataupun bertemu dengan pengarangnya,” katanya kepada Sastera di UPSI, Tanjung Malim, baru-baru ini.\r\n\n\n\rApatah lagi, generasi muda juga berdepan dengan halangan kuasa beli terutama pelajar IPT yang mempunyai tuntutan lain dalam tempoh pengajian, manakala yang baru berkerjaya perlu mengatur perbelanjaan dengan bijak termasuk meletakkan peruntukan setiap bulan untuk membeli buku.\r“Tidak semestinya mereka membeli buku setiap bulan, sebaliknya menggunakan peruntukan itu pada pesta buku yang memerlukan perbelanjaan yang lebih, selain sebahagian kedai buku mengadakan jualan murah dari semasa ke semasa,” katanya.\rMengenai keghairahan sebahagian generasi muda ‘berborong buku’, Ariff mengingatkan buku yang dibeli perlu dibaca dengan memberi analogi membeli baju yang kemudian wajar dipakai dan bukan sebaliknya.\r“Namun, bukanlah maksudnya buku yang dibeli mesti terus dibaca keesokannya kerana ada sesetengah buku dibeli untuk tujuan rujukan, dibaca pada masa kelapangan dan semasa bercuti atau ada juga yang dijadikan simpanan dan kenangan-kenangan,” katanya.\rPandangan Ariff itu dipersetujui Tutor Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Zarif Hassan apabila menegaskan jumlah pengunjung ke pesta buku bukanlah penunjuk hakiki yang boleh digunakan dalam mengukur semangat budaya membaca.\r“Kebanjiran generasi muda di pesta buku hanya melangsungkan aktiviti jual beli yang belum memadai untuk kita katakan budaya membaca sudah meningkat.\r“Bagaimanapun, senario itu memberi gambaran semangat budaya membaca tetap ada apabila buku masih menjadi pilihan di sebalik kemudahan teknologi yang memudahkan banyak maklumat diperoleh dalam internet,” katanya.\rMuhammad Zarif mengingatkan ‘berborong buku’ tidak boleh dijadikan trend dan budaya ikut-ikutan kerana berunsurkan pembaziran dan terdorong hawa nafsu sekiranya pembelian itu tidak diikuti dengan pembacaan.\r“Ada yang berborong buku semata-mata kerana tidak mahu dipandang rendah kerana tidak dinafikan buku menjadi antara simbol intelektual.\r“Tidak hairanlah, mereka ini hanya melihat buku sebagai objek perhiasan yang memenuhi ruang tamu dan bilik tidur, selain mahu dilihat tidak mengenepikan sifat intelektual oleh tetamu mereka,” katanya.\rSungguhpun demikian, baginya tidak salah berborong buku sekiranya ia menjadi keperluan kepada generasi muda, sekali gus selaras dengan kemampuan material dan masa untuk membacanya sehingga menjadikannya sebagai budaya yang sihat dan mampu menyemarakkan budaya membaca.\rPenulis blog mengenai buku, Yasser Arafat Ishak atau lebih dikenali sebagai Jiwa Rasa, berkata ‘berborong buku’ memerlukan disiplin kerana pembaca memerlukan perancangan untuk membaca buku berkenaan.\r“Memanglah berborong buku ini kadang-kadang didorong oleh emosi dan nafsu, tetapi pembaca ada banyak sebab untuk membelinya termasuk kesempatan harga yang murah atau sukar diperoleh di tempat lain.\r“Apatah lagi media sosial seperti Facebook dan Twitter serta laman sosial buku Goodreads dan Shelfari turut menjadi tempat untuk peminat buku berkongsi buku yang diborong, sekali gus menjadi cabaran untuk rakan mereka untuk mencari buku bermutu untuk dibeli dan dibaca,” katanya yang menulis di jiwarasa.blogspot.com.\rYasser Arafat menganggap berborong buku menjadi sumbangan kecil pembaca tegar dan pembeli buku kepada industri buku tanah air, sekali gus menjadikan buku laku di pasaran dan penerbit lebih bersemangat untuk menerbitkan buku yang lebih baik.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|