PROLOG
Seorang gadis yang sedang berdiri betul-betul di atas permatang menjelingku manis sebelum melarikan pandangan. Terus tanganku yang memegang erat Canon Eos 400D terjatuh ke sisi. Bukan seraut wajahnya yang membuatkan aku terpegun namun segaris senyuman yang tercalit di bibirnya. Aku akui dia hanya gadis biasa yang tidak terlalu cantik.
Angin menyapa lembut dua lekuk pipinya. Tanpa aku sangka, dia terus melabuhkan punggung dan memasukkan kakinya ke dalam air sawah yang bagiku, kotor. Membiarkan kain batik yang dipakainya basah. Baju kurung biru tidak diangkat meskipun sedikit. Tudung bawal berwarna putih terbuai-buai. Sesekali kelopak matanya tertutup rapat apabila terkena simbahan sang suria. Langkahku mati dan hanya memerhati dirinya.
Dengan lafaz Bismillah, aku mengorak langkah dan mendekati gadis itu tanpa dia sedari.
“Cik,” sapaku lembut.
Wajahnya berubah. Mataku jatuh pada kakinya. Bagaikan ingin berlari namun tidak mampu. Aku hanya berdiri memandangnya. Ikutkan hati, mahu saja aku melabuhkan punggung di sisinya tapi aku tidak ingin dia lari. Aku ingin dia ada di sini.
“Jangan lari. Saya bukannya nak takutkan cik. Cuma nak tanya satu soalan.”
“Apa?” Ada nada risau dalam bicaranya.
“Kat sini orang panggil sawah apa?”
Pecah tawanya. Bukan tawa yang sengaja dibuat-buat. Ada sinar bahagia terbias di kornea matanya.
“Bendang,” balasnya ringkas.
Seketika kemudian, gadis itu melarikan pandangan. Tawanya sudah lenyap dibawa angin petang. Aku juga membisu. Selalunya, riuh saja aku menuturkan aksara namun kebisuan dia membuatkan aku terdiam dalam sekelip mata.
Mataku nakal memandang wajahnya. Parut jerawat yang jelas kelihatan di hidung dan dahinya. Tanpa sedar, bibirku mengoyak senyuman nipis. Jerawat merupakan perkara biasa untuk remaja yang sedang membesar sepertinya. Sepasang mata bundar yang lebam. Adakah dia memakai cermin mata atau selalu tidur lewat?
Kakiku terasa lenguh. Terlalu lama berdiri tapi mustahil untuk aku duduk. Pasti gadis ini akan meninggalkan aku. “Bukan orang sini?”
“Tak. Datang sini sebab cuti semester. Lagipun, nak tangkap gambar sawah. Tiba-tiba terjumpa cik. Orang sini?”
“Takkanlah orang Sabah. Mestilah orang sini.”
“Oh. Nama siapa?”
Terus gadis itu bangun dan menepuk bajunya berkali-kali. Hujung kain batik dan seliparnya sudah basah. Jemarinya terus diletakkan di pipi dan tika itu juga, secalit lumpur terlekat di wajahnya. Ingin memberitahu, lidahku tiba-tiba saja kelu.
“Safa’ Qadirah,” balasnya mendatar dan terus menghilang di sebalik petang.
Meninggalkan aku yang termangu-mangu di sini. Mataku melingas kiri dan kanan sebelum aku melabuhkan punggung. Kedua-dua belah kakiku dimasukkan ke dalam sawah. Zip beg sandang aku tarik dan mengeluarkan sketchpad. Pensel aku capai dari poket seluar dan jari-jemariku mula menarik. Melukis wajah Safa’ Qadirah sebentar tadi. Very vaguely. Hanya nama dan wajahnya yang aku tahu tika ini.
Safa’ Qadirah. Permatang. Sawah.
|