CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4316|Reply: 0

Peugeot 208

[Copy link]
Post time 2-7-2013 10:06 AM | Show all posts |Read mode


Satu hal yang pasti, Peugeot 208 akan turun di segmen yang cukup ramai pemainnya dalam siri hatchback kecil. Di segmen ini telah menanti raksasa Honda Jazz, Perodua Myvi, Suzuki Swift, Ford Fiesta, Mazda2 dan tentu saja pesaing sejati dari benua Eropah, Volkswagen Golf. Ertinya jika ingin kompetitif di market, Peugeot 208 sebaiknya bermain di rentang harga RM80k.

Peugeot 208 merupakan supermini B-segment keluaran automotif Peugeot Perancis. Model yang dibangunkan dengan kod nama A9 itu pertama kali ditayangkan kepada umum pada Geneva Motor Show, Mac 2012.

Versi tiga pintu merupakan model pertama yang dikeluarkan di bawah lencana 208 pada 2011. Setahun kemudiannya, jenama yang menggunakan lambang singa berdiri tersebut menawarkan hatchback lima pintu sekitar Jun 2012.

Sejak itu, 208 menjadi model segmen B Eropah terlaris untuk tiga bulan berturut-turut. Hasil dari sambutan menggalakkan berkenaan, Februari lalu model 208 meraikan pengeluaran yang ke 300,000 di kilang Peugeot di Poissy, Perancis.

Mengembangkan lagi sayapnya, model kompak berkenaan telah pun di bawa masuk ke dalam negara menerusi dua varian iaitu tiga dan lima pintu. Berada di bawah siri keluarga 200, Nasim Sdn Bhd, Pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia hanya menawarkan enjin 1.6 liter (L) VTi. Jika dibandingkan dengan pasaran antarabangsa, tawaran enjin 208 lebih pelbagai bermula dari 1.0L, 1.2L sehinggalah kepada 1.4L dan juga 1.6L.

Menerusi kapasiti enjin tersebut, 208 menghasilkan kuasa 122ps dan tork 160Nm. Mengikut fakta di atas kertas, tork setinggi 140Nm tersedia pada putaran enjin serendah 2,000rpm, menjadikan Peugeot 208 serba baharu sebuah kereta yang responsif dan menyeronokkan untuk dipandu. Enjin tersebut dipadankan kotak gear adaptif Tiptronic dengan fungsi mod Sport.

Dengan tambahan harga RM10,000 untuk model tiga pintu, pembeli akan menerima rim aloi Oxygen 17 inci, kerusi semi bucket Sahara campuran kemasan kulit dan fabrik. Tidak lupa menjadi trend masa kini, ia turut menampilkan bumbung panorama dengan mood pencahayaan serta cermin berkuasa dengan sekali sentuh di bahagian pemandu sahaja.

Sementara varian lima pintu dilengkapi dengan rim aloi Helium 16 inci, kerusi semi bucket  Moonlight kemasan fabrik dan cermin berkuasa sekali sentuh untuk keempat-empat cermin.


Rekaan ECO

Melihat kepada rekaan luaran, ia jelas bahawa 208 satu langkah besar transformasi dengan menjadikan gaya hidup baru sebagai signatur.

Bahkan model baru ini juga menjadi peneraju dalam rekaan ECO. Ia menggunakan 25 peratus bahan hijau dengan penggunaan 170 kilogram polimer (tidak termasuk getah). Selain itu, keseluruhan bampar belakang turut menggunakan bahan kitar semula yang pertama di dunia.

Bahagian lain yang turut menggunakan bahan kitar semula ialah rangka radiator, kipas, gerbang roda bahagian dalam, sound proofing, tikar but, roda stereng, penutup enjin dan juga penapis udara. Penggunaan material sedemikian dikatakan dapat menjimatkan 1600 tan minyak setahun.

Malah penggunaan bahan sedemikian menyumbang kepada pengurangan berat 208 sebanyak 173 kilogram  berbanding model 207.

Beralih ke bahagian kabin, pemandu akan menemui skrin sesentuh interaktif terapung bersaiz tujuh inci dengan warna HD di bahagian tengah yang memberi akses mudah untuk radio serta  sambungan USB dan Bluetooth.

Sebagai permulaan, pihak Nasim telah pun menerima sebanyak 300 unit tempahan dan menyasarkan jualan bulanan sekitar 200 unit Peugeot 208.

Untuk keselamatan penumpang, Peugeot 208 serba baharu didatangkan standard bersama enam beg udara dan Program Kestabilan Elektronik (ESP) yang menampilkan ABS, EBD, EBA, DSC dan ASR. Antara ciri-ciri keselamatan lain termasuklah
Bantuan Penghidup Bukit dan dua titik ISOFIX di bahagian belakang untuk kerusi kanak-kanak.

Peugeot 208 boleh didapati dalam enam warna menarik – Putih, Hitam, Biru, Merah dan Perak. Model hatchback kompak sporty itu turut didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan akses percuma ke Peugeot Lounge.

Tanda harga bagi model berkenaan ialah RM95,888 bagi tiga pintu dan RM85,888 untuk lima pintu. Harga yang dinyatakan tidak termasuk insurans.


Pandu uji singkat ke Tanjung Malim

Untuk beberapa minggu akan datang kita akan mengetahui jika ia boleh bersaing dengan yang terbaik dalam kelasnya dan menjadi cerita kejayaan yang Peugeot mahukan setelah dilancarkan.

Sebelum rasmi dilancarkan di pasaran seramai 30 media terpilih berpeluang menyertai sesi pandu uji Peugeot 208 ke Tanjung Malim, Perak.  Kesemua media dibahagikan kepada tiga organisasi bagi setiap 11 unit kereta versi lima pintu.

Memandu Peugeot 208 sejauh 220 kilometer (perjalanan pergi dan pulang) bermula dari Subang, saya ringkaskan di sini dari segi pengendalian adalah neutral dan tepat. Melalui jalan lama Kepong dan Batu Caves, kawalan stereng 208 adalah ringan sekitar bandar dan lebih tajam pada kelajuan tinggi.

Pada jalan berselekoh, stereng memberi respons dengan tepat dan cepat tanpa memerlukan pergerakan yang banyak. Bagaimanapun roda hadapan adalah cepat untuk membelok dalam dan kereta lebih kekal ke arah dalam selekoh.

Secara umumnya pengendalian adalah ok tetapi ia bermasalah apabila melalui bonggol besar di mana menghantar hentakan melalui kabin dan kereta melantun di luar sudut. Dengan kelajuan empat gear pada paparan info, sedikit meletihkan untuk perjalanan jauh di mana 208 memerlukan gear tambahan ketika di lebuh raya.

Menekan pendikit terus ke lantai, bunyi keras  enjin jelas didengar tetapi sebaik menekan butang sports, 208 benar-benar berubah karakter yang memberikan pecutan dengan cepat dan berterusan tanpa adanya lengahan kuasa.

Suspensi juga tidak keras dan lembut di mana ia cukup selesa walaupun dikerah keras dan menyerap keadaan jalan tidak rata dengan tenang dan baik. Kedapan bunyi kabin juga berada di tahap baik di mana ia lebih baik berbanding Golf TSI.

Bagaimanapun dalam keadaan pemanduan agresif dan melalui jalan berselekoh, duduk di belakang kurang menyenangkan kerana bahagian penyandar yang sedikit menegak dan olengan badan yang kuat akan membuatkan penumpang belakang mudah berasa pening.

Tetapi dari segi ruang kaki dan lutut serta kepala tiada masalah bagi saya  dengan ketinggian 156 sentimeter.  Sayangnya tidak untuk dua lagi rakan media lain dengan ketinggian sekitar 160 sentimer. Ruang  kepala dan kaki untuk mereka hanya mencukupi.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-12-2024 07:47 AM GMT+8 , Processed in 0.287344 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list