Dari Pak Uduh inilah saya mendapat cerita mengenai kisah Naesah Lawa yang kuburnya berasap seperti yang diceritakan Ali Burn sebelum itu. Kampung Pak Uduh memang di Melaka, tetapi bukanlah dari Merlimau. Naesah Lawa itu seorang janda muda yang mudah memikat pemuda-pemuda. Antara yang jatuh hati pada Naesah Lawa ialah Pak Uduh sendiri.
Akhirnya Naesah berkahwin juga dengan Pak Uduh, tetapi mereka tidak mempunyai anak. Ketika berkawin dengan Pak Uduh, Naesah Lawa sudah dua kali bersuami. Sebagai orang yang warak, Pak Uduh selalu menghabiskan masanya di surau menunaikan ibadat, disamping belajar agama dari guru-guru agama yang diundang khas.
Naesah Lawa pula dalam diam-diam berkenalan dengan seorang anak muda yang lain pula. Perhubungannya dengan anak muda, sati hari telah terserempak dengan emak Pak Uduh. Apa lagi, perkara itu terus diberitahu kepada Pak Uduh. Tetapi Pak Uduh tidak terus terburu-buru. Dia meminta emaknya bersabar dulu, kerana dia belum melihat dengan matanya sendiri akan perbuatan isterinya itu.Sejak itu emak Pak Uduh mula tidak senang dengan sikap Naesah Lawa. Malah dia menuduh Naesah Lawa sudah menggunakan ubat pengasih menyebabkan Pak Uduh tunduk mengikut perintahnya.
Sebenarnya Pak Uduh bkanlah terkena ilmu guna-guna atau ubat pengasih. Dia seorang yang taat kepada perintah agama. Sebab itulah dia masih boleh bersabar mendengar aduan dari emaknya sendiriterhadap kecurangan isterinya itu.Tetapi emaknya tetap berkeras menyalahkan Pak Uduh.
Tidak lama kemudian emak Pak Uduh jatuh sakit muntah-muntah drah. Ada bomoh mengatakan dia terkena santau. Sebaliknya apabila dibawa ke hospital, pihak hospital mengatakan dia terkena penyakit batuk kering. Hospital pula mengesyurkan supaya dihantar untuk mendapat rawatan lanjut di Kuala Lumpur. Bagaimana pun emak Pak Uduh tidak mahu berubat di hospital. Akhirnya dia mati kerana mengidap penyakit batuk darah. Samaada dakwaan bomoh yang mengubatnya benar atau tidak, Pak Uduh juga tidakmahu mempercayai sangat.Tetapi Pak Uduh sendiri sudah mencubanya sendiri mengubat emaknya dengan membacakan ayat-ayat Quran seperti yang dipelajarinya.
Setiap kali dia memberi emaknya minum air yang sudah dibacakan Yassin, emaknya muntah-muntah darah. Di dalam darah beku itu terdapat beberpa helai rambut. Malangnya, Pak Uduh sudah terlambut mahu mengubat emaknya. Orang tua itu meninggal dunia sebelum sempat Pak Uduh mengubatnya lebih mendalam.
Disebabkan terpengaruh juga dengan dakwaan bomoh mengenai emaknya yang termakan santau itu, Pak Uduh telah mengerjakan sembahyang sunat tahjud 44 malam agar orang yang menganiaya emaknya bertaubat. Dia tidak berharap untuk bertemu dengan orang yang menganiaya itu, kerana gurunya berpesan supaya tidak berbuat demikian. Hanya yang diajarkan oleh gurunya memohon doa agar orang yang menganiaya itu bertaubat kepada Allah.
Tidak sampai 44 malam Pak Uduh melakukan sembahyang sunat tahjudnya, tiba-tiba Naesah Lawa isterinya jatuh sakit. Dia meracau-racau dan menjerit-jerit sepanjang malam. Dia menuduh emak mertuanya sengaja membuat fitnah mengenai hubungan sulitnya dengan seorang pemuda. Disebabkan tidak tertahan dengan peristiwa emaknya baru saja meninggal dunia, kemudian isterinya mula jatuh sakit meracau-racau, maka Pak Uduh terpaksa minta tolong kepada gurunya To' Kiyai Parjo dari Johor.
"Mengapa tak diubat sendiri?" tanya To' Kiyai Parjo apabila Pak Uduh menceritakan masalahnya.
"Hati saya tak tenteram To' Kiyai, tak dapat nak khusyuk..." dia menjelaskan dalam perasaan bimbang. "Kalau begitu kau tak tahan diuji" sahut To' Kiyai Parjo mengingatkan. "Tak tenteram bererti kau tak sabar, kalau mau cari kemenangan mesti sabar. Mesti tenteram, barulah kau dapat menggunakan ilmu kau" ujarnya macam kesal dengan sikap Pak Uduh.
Tetapi Pak Uduh tidak pedulikan lagi mengenai kata-kata gurunya. Yang penting dia mesti selamatkan isterinya Naesah Lawa. Dia tidak sanggup kehilangan isteri, setelah kehilangan emaknya."Sekarang, aku mahu kau sendiri mengubatnya" tegas To' Kiyai Parjo memberi isyarat.Pak Uduh memahami isyarat itu. Dia mesti ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo untuk melihat sendiri penyakit isterinya. Dengan cara itu barulah dia dapat mengubat mengikut cara yang diajar oleh To' Kiyai Parjo.
Ketika ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo, Pak Uduh merasa dirinya keluar dari jasadnya. Dia terapung-apung di awangan menurut perintah To' Kiyai Parjo. Apabila disuruh melihat tubuh isterinya Naesah Lawa, dia nampak Naesah Lawa terbaring dengan seluruh tubuhnya berlubang-lubang. Kelihatan nanah dan darah keluar dari lubang-lubang sebesar guli itu.
"Apa yang kau nampak?" dia terdengar suara To' Kiyai Parjo sayup-sayup dari jauh."Berlubang-lubang badannya. Ada darah dan nanah keluar" Pak Uduh memberitahu apa yang dilihatnya."Bacakan ayat ini dan hembuskan ke situ" perintah To' Kiyai Parjo.Dia membacakan tiga kali ayat yang diajarkan oleh To' Kiyai Parjo, kemudian dihembuskan ke tubuh Naesah Lawa. Sebaik saja dihembuskan seluruh tubuh Naesah Lawa menjadi hancur. Ketika ini Pak Uduh merasakan sekelilingnya bagai dilanda ribut kencang, hingga dia juga hampir-hamoir diterbangkan.
"Mengapa?" soal To' Kiyai Parjo."Ribut kencang..." jelasnya cemas."Bacakan doa ini" kata To' Kiyai Parjo memberi panduan.Sebaik dibacakan ribut kencang tiba-tiba berhenti. Dia tidak nampak lagi tubuh Naesah Lawa, tetapi kelihatan seorang lelaki berjubah putih dengan janggutnya juga putih sampai ke pusat. Dia memberitahu apa yang dilihatnya kepada To' Kiyai Parjo.
Tetapi apabila dia membacakan ayat yang diperintahkan oleh To' Kiyai Parjo, lelaki berjubah putih itu tersenyum lalu memberi salam. Ketika ini Pak Uduh sudah tidak mendengar lagi suara To' Kiyai Parjo yang sayup-sayup tadi. Dia merasa begitu jauh terasing.
Pak Uduh menyahut salam lelaki berjubah itu.
"Kenapa kau nak tolong orang yang akan mati?" lelaki berjubah itu bertanya."Mati hanya ditentukan oleh Allah....." sahut Pak Uduh keras."Kau orang berilmu" ujar lelaki berkenaan macam menyindir. "Tetapi tidak mendalami ilmu kau. Ilmu Allah luas dan kau tak akan jemu-jemu mempelajarinya" kata lelaki berjubah putih itu lagi.
Pak Uduh dapat mengagak bahawa lelaki berjubah putih di depannya bukanlah syaitan. Kerana syaitan tidak akan berani menyebut ayat-ayat Allah. Bagaimanapun dia tidak berani bertanya siapakah lelaki berkenaan. Apa lagi dia tidak dapat lagi berhubungan dengan To' Kiyai Parjo.
"Sekarang, baliklah kau" lelaki berjubah putih itu memerintahkan dia meninggalkan tempat itu.
"Tidak......aku mahu selamatkan isteri aku!" tegas Pak Uduh.
"Isteri seorang mukmin ialah perempuan yang mempunyai cukup syarat di sisi Allah" suara orang tua berjubah putih itu keras. "Apakah kau mau seorang isteri yang dilaknati di sisi Allah" jelas orang tua itu lagi. "Kau setan, memang pendusta" sahut Pak Uduh menahan kemarahan yang mula membakar hatinya. Dia cuba mengharapkan To' Kiyai Parjo segera menyeru namanya, tetapi sia-sia belaka.
Astaghafarullah-alazzim......" keluh lelaki tua itu menyesali sikap Pak Uduh. "Jangan kau jadikan yang hak itu batil, dan yang batil itu hak," katanya mengingatkan.
"Jadi kau siapa?" Pak Uduh masih mendongkol.
"Orang berilmu mesti banyak bersabar" orang tua berjubah putih itu menasihati dia. "Aku tau To' Kiyai Parjo, aku juga tau tentang kau. Bukankah kau telah menunaikan Sunat Tahajud selama 44 malam?" katanya mengingatkan Pak Uduh.
"Iya....." angguk Pak Uduh. "Kau sudah memohon pada Allah tunjukkan kebenaran?" tanyanya lagi. Pak Uduh angguk.
"Sekarang itulah kebenaran!" tegas orang tua berjubah putih itu lagi. "Aku guru pada To' Kiyai Parjo, dan aku bukan syaitan yang mahu mempengaruhi kau. Mari ke mari......." dia menghulurkan tangannya.
Cepat-cepat Pak Uduh memeluknya. Terbau padanya sekelilingnya harum semerbak yang belum pernah diciumnya selama itu. Sekaligus air mata Pak Uduh menitis.
"Maafkan saya To' Wali" Pak Uduh menangis terisak-isak.
"Sudahlah Uduh.." dia memujuk sambil mengusap-ngusap kepala Pak Uduh. "Naesah yang memberi emak kau racun santau, kerana emak kau terserempak akan perbuatan curangnya terhadap kau. Sekarang baliklah kau" katanya meninggalkan Pak Uduh.
Barulah Pak Uduh dapat mendengar suara bisikan To' Kiyai Parjo. Bagaimanapun Pak Uduh meminta untuk balik segera masuk ke tubuhnya. Tidak lama kemudian dia membuka mata, dan dilihatnya Naesah Lawa masih terlentang menderita sakit.
"Saya fikir tak payahlah kita ubatkan lagi Naesah ni To' Kiyai....." bisik Pak Uduh. To' Kiyai Parjo tersenyum. Dia sudah tahu apakah yang tersirat di hati Pak Uduh. Malah pertemuan Pak Uduh dengan arwah gurunya itu juga sudah difahami oleh To' Kiyai Parjo.
"Kalau kau dah kata begitu, terpulanglah" ujar To' Kiyai Parjo perlahan.
Tiga hari selepas itu pun perut Naesah Lawa menjadi buncit. Lama kelamaan menjadi busung hingga kulit perutnya mengening-ngening. Apa yang dilihat oleh Pak Uduh melalui makrifatnya jelas telah berlaku ke atas Naesah Lawa. Seminggu selepas perutnya menjadi busung Naesah Lawa pun meninggal dunia. Pada senja waktu maghrib hari dikebumikannya itulah Pak Uduh mendengar jeritan nyaring dari tanah perkuburan. Jeritan itu juga didengar oleh orang-orang kampung. Selepas menunaikan fardhu maghrib Pak Uduh bersama adik iparnya (iaitu adik lelaki Naesah Lawa) bernama Selamat telah pergi ke tanah perkuburan.
Jeritan itu memang jelas seakan-akan suara Naesah Lawa. Sebab itulah dia mengajak Selamat ikut sama melihatnya. Memang betul jeritan itu datangnya dari kubur Naesah Lawa. Ketika mereka berdua sampai rintihan dan ngongoian Naesah Lawa begitu jelas dan menusuk perasaan.
Dari kubur itu kelihatan asap berkepul naik. Air mata Pak Uduh menitik melihat peristiwa yang menimpa ke atas kubur isterinya. Kalaulah emaknya masih hidup bolehlah dia melutut meminta ampun kepada emaknya bagi pihak Naesah Lawa. Tetapi semuanya telah berlalu, dia hanya dapat berdoa meminta pertolongan Allah supaya mengampunkan Naesah Lawa. "Mat...." kata Pak Uduh sayu. "Kakak kau terseksa. Kau balik dan beritahu To' Kiyai Parjo. Biar abang tunggu di sini buat apa yang patut" bisiknya tersedu sedan.
Kesedihan yang menusuk di jiwanya bukanlah kerana kematian isterinya, tetapi penderitaan yang ditanggung oleh isterinya setelah disemadikan di dalam kubur. Kalaulah benar Naesah Lawa membuat perhubungan dengan lelaki lain dia boleh melupakan saja segalanya. Dia sedia mengampunkan dosa Naesah Lawa terhadapnya.
Tetapi perbuatan Naesah Lawa tergamak memberikan emaknya makan racun santau itu, hanya emaknya sajalah yang boleh mengampunkan. "Baliklah Mat, minta bantuan dari orang kampung" katanya lagi menahan kesedihan. "Baiklah bang" sahut Selamat perlahan. "Macam mana pun abang sabarlah. Apa nak buat dah nasib dia..." Selamat cuba mententeramkan perasaan Pak Uduh. Selamat terus balik ke rumah Pak Uduh, kerana di sana orang sudah berkumpul untuk mengadakan kenduri aruah. To' Kiyai Parjo juga ada menunggu di rumah Pak Uduh. Segala kejadian yang dilihatnya di kubur kakaknya diberitahu oleh Selamat kepada mereka yang ada di situ. "Abang Uduh minta To' Kiyai ke sana" jelas Selamat.
Beberapa orang yang ada di atas rumah turun ke bawah. Mereka bersama-sama To' Kiyai Parjo mengikut Selamat menuju ke kubur Naesah Lawa. Apabila sampai di kubur mereka dapati Pak Uduh sedang membacakan Surah Yassin dengan tenang. Bunyi jeritan juga mula mengendur.
Kepul asap juga sudah mula berkurangan. Tetapi keadaan demikian sementara saja. Selepas itu asap dari kubur semakin menebal dan jeritan suara meminta tolong semakin kuat. Sekali-sekala keluar api dari celah-celah kepulan asap itu.
Semakin kuat bacaan Surah Yassin dibacakan, semakin kedengaran jeritan nyaring tidak ketahuan.
"Begini Uduh...." To' Kiyai Parjo menepuk bahu Pak Uduh. "Kalau kau izinkan kita galikan semula kubur Naesah ni, kita mandikan dia dengan air Yassin" ujarnya menahan kesedihan yang menusuk-nusuk. Pak Uduh hanya mengangguk. Lidahnya sudah tidak terucapkan apa-apa lagi. "Kalau begitu kau Selamat, bawalah kawan-kawan" To' Kiyai Parjo berpaling pada Selamat. "Bawa cangkul, bawa lampu gaslin dan bawa air segeluk" perintahnya.
Last edited by uniq61 on 3-10-2013 04:38 PM
|