Peliknya, belum pun usia 30 tahun, masing-masing sudah sibuk cari jalan untuk tidak nampak tua. Bukan setakat menggunakan pelbagai jenama mekap atau krim penuaan, malah lebih kronik ramai anak muda sudah berani melakukan pembedahan.
Kulit berkedut, badan gempal, rambut gugur, wajah kerepot menyeramkan dan bayangan aneh; seteruk itukah bayang-bayang wajah anda ketika beranjak tua hingga rasa takut begitu menebal?
Usia makin meningkat bukan alasan untuk membiarkan diri turut sama mengalami proses penuaan yang kini dianggap antara perkara membimba-ngkan hingga perlu diberi perhatian khusus.
Garis halus di sekitar mata dan mulut serta perubahan struktur kulit tidak lagi dianggap perkara normal bagi seseorang yang menuju ke tahap tertinggi dalam hidupnya, tapi kesan penuaan itu mula menjadi isu besar hingga wujud pelbagai bahan, ubatan serta kaedah yang dikatakan mampu mengatasinya.
Demi mencapai kecantikan mutlak, ada segelintir sanggup ‘menyerah’ muka ke meja bedah, selain ramai juga tidak kisah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli segala kosmetik yang menjanjikan hasil segera dan berpanjangan.
Namun, pelbagai produk anti-penuaan kini berada di pasaran lalu membuatkan semakin ramai mula obses hanya kerana enggan digelar ‘orang tua’.
Wanita cantik atau lelaki yang kacak mesti tersangat takut jika kecantikan itu pudar dikikis usia. Datanglah berpuluh botol anti-penuaan atau beratus-ratus pusat kecantikan sekali pun, tiada siapa boleh melawan qada dan qadar Allah SWT.
Bimbang diduakan
Kalau dulu, isu pembedahan plastik atau masalah takut tua lebih banyak dibimbangi wanita yang melepasi usia 30-an, kononnya bimbang suami atau kekasih cari lain.
Tapi lebih kelakarnya kalau dilihat pada perspektif hari ini, ramai anak muda yang belum pun usia mencecah 30 tahun, sudah sibuk memikirkan cara untuk kekal pada usia itu. Kononnya takut nampak tua.
Lebih-lebih lagi kalau mendengar kawan-kawan suami ada yang berpoligami, bukan main takutnya hingga senang-senang boleh diperbodohkan penjual produk kecantikan.
Apa saja yang didengar mengenai awet muda semua mahu dicuba hingga ramai yang menjadi mangsa. Bukan cantik dan muda tapi penyakit yang datang kesan daripada pengambilan ubat bebas di pasaran.
Atau lebih memualkan ada yang sanggup berhabis untuk tampak lebih muda semata-mata terpengaruh dengan fenomena muzik K-Pop yang meng-amalkan budaya pembedahan plastik secara terbuka.
Padahal muka sudah kacak dan cantik, tapi setiap kali melihat wajah di cermin, masih ada rasa tidak syukur dan ingin menjadi persis bintang Korea. Adakah ia berbaloi?
Meminjam kenyataan seorang anak muda berusia 23 tahun dalam sebuah majalah tempatan yang berkongsi pengalamannya melakukan pembedahan plastik, apa yang menjadi keutamaan adalah kepuasan selepas melihat perubahannya.
“Memang awalnya bimbang tapi dengan adanya teknologi moden dengan pelbagai penyelesaian, saya yakin tindakan membuat pembedahan adalah tepat.
“Bukan tidak bersyukur, cuma saya inginkan wajah yang lebih licin, putih dengan hidung yang lebih mancung seakan bintang Korea pujaan saya.
“Selepas melihat hasilnya, saya berpuas hati dan kawan-kawan pula sibuk
bertanya di mana saya melakukannya untuk mereka pula mencuba,” katanya.
Itu memang penyakit dan sepatutnya diberikan alternatif khususnya anak muda Malaysia kerana budaya pembedahan plastik di usia muda sangat merbahaya.
Sepatutnya usia tua hendaklah disambut dengan perasaan syukur kerana masih dipanjangkan umur dengan kesihatan yang sempurna.
Botox sebagai jawapan
Kajian pada 2006 di Jerman misalnya mendapati 82 peratus rakyat negara itu berasa lebih gembira dan berpuas hati selepas menjalani pembedahan plastik.
Berbanding di Malaysia, jumlahnya masih kecil namun terdapat peningkatan sebanyak 10 ke 15 peratus setiap tahun sejak hujung 1990-an.
Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pembedahan plastik, suntikan botox dan bahan anti-penuaan menjadi salah satu kepada ‘jawapan’ kepada kesan penuaan itu.
Proses penuaan bermula ketika tubuh manusia mencapai umur 20 tahun yang mana kolagen dalam tubuh akan berkurangan secara semula jadi lalu menyebabkan kulit nampak kasar, kusam serta berpigmen.
Namun, masalah kulit tidak akan kelihatan pada usia remaja kerana penghasilan kolagen dan elastin berjalan lancar. Apabila usia makin meningkat, keadaan seperti itu tidak lagi berlaku kerana kadar oksigen dalam kulit mengalami penurunan dan ia berkurangan seiring dengan pertambahan usia.
Ketika muda, sel dalam kulit kita dapat bertaut dengan baik dan masih kukuh. Tapi selepas usia meningkat melebihi 35 tahun, sel itu mula longgar hing-ga menyebabkan dalaman kulit kurang anjal lalu memperlihatkan kedutan kerana berlakunya perubahan pada struktur kulit.
Bagi yang baru melangkah ke alam remaja, biasanya penjagaan wajah tidak begitu rumit dan hanya mengalami masalah kecil seperti jerawat.
Ketika usia meningkat, kulit wajah mulai mengalami perubahan besar lalu timbul masalah seperti jeragat, kulit kering atau berminyak, bintik hitam dan warna yang tidak sekata.
Apabila usia menjengah 40 tahun ke atas, masalah itu pula mula berkura-ngan, namun digantikan dengan garis halus yang signifikan kepada tanda penuaan lalu membuatkan ramai wanita panik dengan keadaan itu.
Selalunya, mereka akan mula mencari ‘penawar’ dan bermula daripada situ, syarikat kosmetik mengambil peluang dengan menawarkan pelbagai produk serta kaedah bagi mengurangkan kesan anti-penuaan itu.
Lumba promosi
Berdasarkan pengamatan, wanita hari ini lebih ramai yang mementingkan penjagaan wajah sedia ada tanpa memberi perhatian kepada pencegahan awal terhadap tanda penuaan yang bakal mereka hadapi.
Majoriti wanita dan anak gadis di negara ini langsung tidak memberi perhatian kepada penjagaan anti-penuaan di peringkat awal, lalu menyebabkan kulit mereka hilang seri, kurang keanjalan serta mulalah timbul kedutan di kawasan mulut dan sekitar mata.
Proses penuaan yang berlaku bukan bermakna anda perlu terus melakukan pembedahan kosmetik atau menjalani rawatan muka yang keterlaluan.
Cukup sekadar anda sedar dan faham dengan perubahan yang berlaku pada tubuh lalu berusaha mengurangkan atau melambatkan tandanya.
Pembedahan plastik, botox atau penggunaan bermacam krim anti-penuaan tidak sepatutnya menjadi keutamaan kerana banyak lagi kaedah yang boleh membantu mengurangkan kesan penuaan seperti mengamalkan gaya hidup sihat dan menjauhi rokok.
Ketika ini, banyak syarikat kecantikan berlumba-lumba mengadakan promosi rawatan muka bagi mengurangkan masalah kulit. Justeru, sentiasa waspada dan mengambil langkah berhati-hati apabila ditawarkan melakukan rawatan anti-penuaan pada harga rendah.
Pastikan dulu bahan yang mereka gunakan untuk rawatan terbabit, sama ada ia disahkan selamat oleh pihak berkuasa atau sebaliknya.
Sepatutnya anak muda hari ini terutamanya yang sibuk dengan isu ‘takut tua’ tidak melihat sesuatu masalah itu secara serius tanpa memikirkan aspek positif yang terselit.
Motivasi yang ada adalah, tua bukan punca hilangnya kenikmatan, kerana boleh jadi tua itu membawa pelbagai perubahan positif dalam hidup kita.
Simpanlah rasa takut tua itu dan cuba belajar memiliki perasaan takut yang lebih bermanfaat untuk kehidupan dunia dan akhirat. Rasa takut yang boleh menyelamatkannya daripada musibah, rasa takut yang meninggikan darjat kita pada pandangan Allah.
Takutlah mati dalam keadaan tua dan bermaksiat!