Ingram Micro dan Microsoft Malaysia Lancar Set Aplikasi Mercado
Solusi Mampu Milik, Praktikal dan Boleh Menampung Lambakan Kerja untuk Tawan Syarikat IKS Tempatan
PETALING JAYA – 19 NOVEMBER 2014: Demi mengatasi cabaran terbesar yang dihadapi oleh syarikat-syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia, Ingram Micro Malaysia dan Microsoft Malaysia hari ini melancarkan satu set aplikasi Mercado dengan kerjasama Mercado agar dapat membantu syarikat-syarikat IKS tempatan untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat (IT) dan kadar produktiviti di tempat kerja.
Set aplikasi Mercado ini merupakan produk keluaran syarikat tempatan dengan matlamat “satu harga untuk sebuah syarikat selama setahun”. Produk dengan harga lebih mampu milik, praktikal serta berupaya menampung lambakan kerja ini memudahkan syarikat-syarikat IKS tempatan menikmati dan menggunakan solusi IT bagi meningkatkan kadar produktiviti kerja. Ini sekali gus dapat mengatasi pelbagai isu yang menyebabkan syarikat IKS enggan menerima penggunaan solusi IT seperti bebanan kos serta kekurangan teknologi yang dapat menampung lambakan kerja.
Lebih 50 pemborong telah hadir untuk menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dalam majlis pelancaran hari ini berhubung tanggungjawab mengedar dan memasarkan semula produk tersebut di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Ingram Micro juga menyasarkan penglibatan seramai 500 orang pemborong dengan bilangan pelanggan tetap set aplikasi Mercado yang mencecah 10,000 orang menjelang 2015 nanti.
Bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran itu, Pengurus Besar Ingram Micro Malaysia, CY Leong berkata Mercado berfungsi sebagai satu stor aplikasi tempatan yang membolehkan syarikat IKS tempatan memilih mengikut keperluan pada harga yang berbaloi. Konsep tersebut juga akan diperluas ke peringkat pasaran IKS serantau.
“Yuran pendaftarannya hanya serendah RM1,500 untuk setiap syarikat dan tiada had bilangan pengguna. Malah, latihan juga akan disediakan secara percuma. Justeru, Mercado adalah langkah paling kos efektif untuk membantu meningkatkan kadar produktiviti kerja,” katanya.
Tambahnya lagi, langkah memperkenalkan Mercado di pasaran Malaysia adalah seiring dengan matlamat kerajaan agar sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan menyumbang hingga 40% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.
“Malaysia merupakan negara pertama yang berpeluang mengakses Mercado. Selepas Malaysia, kami akan memperluaskan penggunaan Mercado di pasaran ASEAN. Semua aplikasi ini dapat diakses dengan mudah melalui tablet dan telefon pintar serta boleh didapati dalam pelbagai bahasa. Misalnya bahasa Inggeris, bahasa Malaysia, bahasa Cina dan bahasa Vietnam,” tambah Leong.
Set aplikasi Mercado yang direka khas untuk syarikat IKS tempatan ini berfungsi di atas platform Microsoft Office 365 dengan 99% kelancaran operasi selama 24 jam sehari. Setakat ini, hanya terdapat tujuh aplikasi dan bilangan aplikasi dijangka meningkat kepada 30 hingga 35 jenis menjelang 2015.
Syarikat-syarikat IKS hanya perlu membayar yuran tahunan yang rendah bagi menikmati perkhidmatan mengakses sejumlah aplikasi tanpa had seperti aplikasi Sumber Manusia, sistem automasi pejabat, pengurusan inventori dan sebagainya.
“Hakikatnya, penerimaan dan penggunaan IT dalam kalangan syarikat IKS merupakan satu cabaran besar. Bukan setakat di Malaysia, malah di rantau ini. Namun, syarikat IKS sedar bahawa penggunaan IT adalah satu keperluan dan langkah strategik kepada keseluruhan nilai rantai bagi meningkatkan tahap produktiviti. Oleh itu, Mercado adalah produk terbaik mampu milik yang dapat memenuhi keperluan syarikat IKS ini,” jelas Pengurus Besar Mercado, Poo Ching Loong.
“Kami amat mengalu-alukan lebih ramai penjual atau pembekal perisian (ISV) agar menyertai atau menyokong inisiatif Mercado ini. Dengan penglibatan lebih banyak pihak, baik golongan ISV mahupun pelanggan, aplikasi Mercado ini akan bertambah baik. Model produk ini cukup unik kerana ia dihasilkan mengikut kehendak pasaran,” terang Poo.
Aplikasi Mercado ini menawarkan banyak manfaat. Antaranya termasuk:
· Kaedah penggunaannya mudah dengan hanya tiga klik · Hanya satu bayaran untuk lesen sebuah syarikat dan tiada had bilangan pengguna · Latihan kemahiran disediakan secara percuma. Majikan boleh membuat tuntutan daripada Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF)
“Kerjasama dengan Mercado ini telah mempertingkatkan taraf solusi pengkomputeran awan untuk rangkaian pemborong kami, sekali gus mewujudkan keberkesanan operasi perniagaan yang lebih baik dan cemerlang. Sebagai pengedar utama Microsoft Cloud, kami perlu merapatkan tali persahabatan dengan semua peniaga solusi pengkomputeran awan tempatan bagi meningkatkan nilai dan kedudukan solusi ini di pasaran,” jelas Leong.
Syarikat IKS yang ingin maklumat lanjut berkenaan applikasi Mercado boleh emel [email protected], menghubungi +60126500365 atau melayari laman web www.mercado.my. Last edited by CMFreporter on 20-11-2014 09:52 AM
|