Edited by Nusantara77 at 14-4-2015 05:40 PM
Galaxy Note Edge memulakan trend peranti dengan skrin sisi. Ia mempunyai skrin sisi pada bahagian kanan yang digunakan bagi meletakkan beberapa pintasan pantas serta paparan berita terkini. Peranti ini menerima beberapa kritikan kerana tidak mesra pengguna kidal serta fungsi skrin sisi yang terhad. Dalam ulasan kami ada mengatakan penggunaan skrin sisi harus digunakan dengan lebih menyeluruh bagi memastikan peranti ini terasa berbaloi untuk dimiliki.
samsung Galaxy S6 Edge | Pemproses | Exynos 7420 Lapan Teras 2.1 GHz + 1.5 GHz | Skrin | 5.1″ SAMOLED QHD (577 PPI) | RAM | 3 Gigabyte | Muatan Dalaman | 32 Gigabyte | Kamera Utama | 16 MP f/1.9 (4K) | Kamera Depan | 5 MP f/1.9 Lensa Lebar | Bateri | 2600 mAh | SIM/Telefoni | NanoSIM / 4G | Harga Jualan | RM 3099 |
Beberapa minggu selepas ulasan tersebuw4ersert diterbitkan kami berada di Bercelona dan memegang Samsung Galaxy S6 Edge. Ia adalah evolusi kepada rekaan Samsung dan kini mempunyai dua skrin sisi. Seperti Galaxy S6, S6 Edge mempunyai rekaan aluminium premium pada bahagian tubuh dan kaca Gorilla Glass 4 pada bahagian belakang. Kemasan berkilau dan memantulkan cahayanya membuatkan peranti ini menjadi antara peranti yang tercantik pernah kami lihat. Mengingatkan kami kepada kemasan perkakasan porselin Dinasti Ming. Pada bahagian kanan terdapat butang kuasa manakala pada bahagian kiri terdapat butang kawalan suara. Slot pengecas MikroUSB, jack fon kepala dan pembesar suara terletak pada bahagian bawah. Pada bahagian atas pula terdapat pemancar infra merah serta slot SIM Nano.
Kombinasi permukaan diperbuat daripada kaca dan sisi yang dibulatkan membuatkan peranti ini sangat licin untuk dipegang..Dwi skrin sisi pada bahagian tepi memberikan rekabentuk S6 Edge yang unik. Tidak seperti Note Edge, saiz skrin pada bahagian sisi S6 Edge adalah lebih kecil. Perubahan ini amat kami gemari kerana pada Note Edge skrin sisi yang agak besar meningkatkan kebarangkalian ianya retak sekiranya peranti terjatuh secara sisi. Peranti sangat selesa dipegang kerana lengkungan skrin mengikut kontur pada telapak tangan.
Sungguhpun begitu kombinasi permukaan diperbuat daripada kaca dan sisi yang dibulatkan membuatkan peranti ini sangat licin untuk dipegang. Beberapa kali ketika tempoh ulasan peranti terjatuh dari tangan. Nasib baik kami cukup pantas untuk menangkapnya sebelum terjatuh ke lantai. Sekiranya tidak kami pasti telah melakukan ujian jatuhan secara tidak sengaja.
Seperti yang kami katakan di dalam ulasan Galaxy S6, jika anda membeli peranti ini pastikan anda membeli cangkerang tahan lasak. Jika tidak peranti akan terlepas dari tangan anda pada kadar yang tinggi dan skrin mungkin akan tercalar. Kami katakan tercalar kerana dari beberapavideo ujian jatuhan yang sudah muncul di Youtube, kaca Gorilla Glass 4 yang digunakan peranti ini sangat tahan lasak dan hentakan. Ia mungkin suka untuk retak seribu tetapi sisi logam peranti akan mudah tercalar kerana diperbuat daripada aluminium yang lembut.
Di Malaysia S6, S6 Edge diperkasakan pemproses Exynos 7420 lapan teras (2.1 GHz + 1.5 Ghz), RAM 3 Gigabyte dan muatan dalaman hanya32 Gigabyte. Tiada model lain akan dibawa masuk buat masa ini. Ini sedikit mengecewakan kerana S6 tidak lagi menyokong kad MikroSD. Kemampuan optik pula ialah 16 Megapixel pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan. Kedua-dua kamera dilengkapi lensa f/1.9 untuk pengambilan gambar yang lebih baik di dalam keadaan gelap. Pada Galaxy S5 lensa f/2.2. Ini sekaligus memberikan kelebihan kepada S6 kerana pesaing lain seperti HTC One M9 dan iPhone 6 juga masih menggunakan lensa f/2.2. Perubahan dari segi spesifikasi dua peranti kembar ini hanyalah pada bateri. Bateri S6 Edge sebesar 2600mAh , 50 mAh lebih besar berbanding S6.
TouchWiz
Samsung menekankan bahawa TouchWiz yang digunakan kali ini lebih pantas, responsif dan ringan berbanding versi sebelumnya. Kebanyakan fungsi tambahan yang disertakan tidak diaktifkan kali pertama anda menghidupkan peranti. Sungguhpun menggunakan Android 5.0.2, sekilas pandang antaramuka TouchWiz S6 Edge tidak mempunyai perbezaan yang ketara. Perbezaan hanya disedari selepas memasuki aplikasi telefon, talam notifikasi dan pemesejan. Animasi yang digunakan menyamai animasi Android Lollipop. Rekaan juga kini semakin rata dan minimalistik.
Fungsi Multi Window, Smart Stay, Video Pop Up dan Palm Screenshot masih lagi disertakan. Ianya boleh diaktifkan bila-bila masa sekiranya perlu. Sungguhpun begitu fungsi Smart Scroll, Smart Pause dan Group Play tidak lagi disokong.
Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah sela masa. Akhirnya selepas bertahun kami merungut tentang masalah sela masa dan animasi transisi yang tidak diperlukan, TouchWiz pada S6 Edge bebas dari masalah turun-temurun ini. Aplikasi dilancarkan dengan pantas. Tatalan skrin amat lancar. Perubahan dari satu aplikasi ke aplikasi lain berlaku dengan sekelip mata. Kombinasi pemproses terkini, RAM kelas tinggi dan sistem operasi 64bit menjadikan semua ini realiti.
ToucWiz baru membenarkan anda menyahpasang aplikasi yang tidak anda mahukan tanpa sebarang halangan. Sebelum ini aplikasi terbina Samsung tidak boleh dibuang melainkan anda melakukan ROOT pada peranti. Kini hanya perlu masuk ke talam aplikasi, tekan butang edit dan nyahpasang aplikasi yang tidak anda mahukan. Termasuklah aplikasi Samsung sendiri.
Fungsi tema yang diperkenalkan pada Galayx Alpha ditambah baik dengan keupayaan memuat turun tema baru menerusi Theme Store. Buat masa ini jumlah tema baru yang boleh dimuat turun masih lagi terhad. Dari segi pilihan ia masih ketinggalan jika dibandingkan dengan tema yang boleh dimuat turun pada peranti Xiaomi. Susunan grid aplikasi pada skrin kini boleh dikustomasi. Terdapat pilihan susunan 4×4, 4×5 dan 5×5.
Fungsi Dwi Skrin
Dwi skrin digunakan pada S6 Edge selepas Note Edge menerima kritikan dari pengguna bertangan kidal. Aneh sekali hampir kesemua fungsi skrin sisi yang diperlihatkan pada Note Edge tidak wujud pada S6 Edge. Pintasan pantas kepada pembaris, perakam audio, jam randik dan lampu suluh yang cukup kami gemari kini hanya tinggal kenangan. Dwi skrin sisi kini hanya boleh memaparkan People Edge, jam dan penstriman maklumat terkini. Fungsi skrin sisi yang sudahpun terhad pada Note Edge kini semakin anoreksia pada S6 Edge.
People Edge ialah fungsi meletakkan 5 individu paling penting di dalam hidup anda pada skrin sisi. Setiap individu diberikan warna tertentu oleh anda. Apabila panggilan dilakukan skrin sisi akan menyala mengikut warna yang ditetapkan. Anda boleh mengetahui siapa yang memanggil tanpa perlu melihat nombor yang dipaparkan pada skrin.
Information stream ialah pilihan memaparkan maklumat berita, saham dan sukan pada skrin sisi. Turut disokong ialah paparan Whoscall. Pilihan paparan berita terhad kepada yang dibekalkan oleh Yahoo sahaja setakat ini. Jika anda pengguna tegar Twitter, paparan topik terhangat terkini juga boleh dipaparkan.
Kami merasakan implementasi fungsi skrin sisi untuk S6 Edge adalah terlalu sedikit. Peranti mungkin nampak sangat menarik dan unik berbanding peranti lain tetapi adakah membayar lebih untuk dua skrin sisi dengan fungsi yang terhad benar-benar berbaloi. Jika estetik peranti yang anda miliki adalah kepentingan nombor satu mungkin anda akan katakan berbaloi. Tetapi bagi kami membayar lebih untuk fungsi tambahan yang terlalu sedikit adalah bukan pilihan yang bijak.
Pengimbas Cap Jari
Pengimbas cap jari semakin mendapat tempat tahun ini. Ianya memudahkan proses menyahkunci. Tidak perlu memasukkan kata laluan, melakar bentuk dengan jari ataupun mengimbas muka.
Pengimbas jari S6 Edge membawakan pembaharuan kerana kali ini ia tidak memerlukan jari anda digerakkan ke atas dan ke bawah untuk di imbas. Kali ini ia lebih menyerupai apa digunakan pada peranti iOS. Hanya perlu letakkan jari pada pengimbas yang terbina di dalam butanghome. Proses mengimbas baru ini lebih pantas dan berfungsi dengan baik. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah.
KameraKamera pada hemat kami ialah kekuatan utama Galaxy S6 Edge. Kamera utama 16 Megapixel dipadankan dengan kamera hadapan 5 Megapixel. Kedua-dua kamera dipadankan dengan lensa f/1.9 bagi memastikan prestasi yang baik di dalam keadaan pencahayaan kurang baik. Ini adalah lensa yang lebih baik berbanding yang digunakan pada peranti lain di pasaran yang masih menggunakan f/2.2.
Antaramuka aplikasi kamera juga diberikan wajah baru. Lebih kemas dan rata selari dengan rekaan Android Lollipop. Pratetapan mengambil gambar kini dihadkan kepada 7 sahaja. Pratetapan lain seperti Read Cam Selfie dan Sound and Shot perlu dimuat turun sendiri oleh pengguna. Fungsi manual turut disertakan di bawah pratetapan Pro. Pelbagai parameter kamera boleh dikawal menerusi mod ini. Akhir sekali mod Virtual Shot diperkenalkan bagi mengambil gambar 360 darjah mengelilingi sesebuah objek . Fungsi ini pada hemat kami tidak berapa diperlukan di dunia sebenar.
Kamera S6 Edge diuar-uarkan dengan fungsi OIS dan Tracking AF. OIS memastikan kestabilan ketika mengambil video dan gambar. Tracking AF pula memastikan objek yang menjadi subjek sentiasa difokus dengan baik. Apa yang perlu anda tahu ialah fungsi OIS dan Tracking AF tidak boleh diaktifkan serentak. Anda perlu memilih salah satu daripada dua fungsi ini ketika menggunakan aplikasi kamera. Kedua-dua fungsi ini jugatidak boleh diaktifkan ketika mengambil video pada resolusi gerak perlahan, QHD, FHD 60 FPS dan UHD.
Di bawah ialah contoh beberapa gambar yang kami ambil menggunakan kamera S6 Edge. Kami sedari kualiti gambar adalah sangat baik. Gambar mengekalkan ketajaman sungguhpun apabila di besarkan pada skrin komputer. Kemampuan makro dan dalam situasi gelap juga terbaik apabila dibandingkan dengan peranti lain yang pernah kami ulas sebelum ini. Masalah noise tidak ketara. Gambar diambil juga terang dan jelas walaupun dalam keadaan gelap.
Penanda Aras
BateriFebruari lalu apabila Galaxy S6 dan S6 Edge diperlihatkan kepada umum dengan kapasiti bateri lebih kecil dari yang digunakan pada S5 ramai yang sedikit kecewa. Samsung segera mengatakan kapasiti bateri 2600 mAh tidak akan mengganggu hayat penggunaan kerana pemproses terkini yang digunakan S6 tidak memerlukan banyak tenaga. Dalam ujian dunia sebenar peranti mampu bertahan selama 8 jam sahaja pada penggunaan paling berat. Pada penggunaan ringan ia bertahan selama 19 jam. Ini adalah mengecewakan bila dibandingkan dengan peranti kelas atasan yang lain. Hayat bateri yang pendek ini adalah kelemahan paling ketara S6 Edge buat masa ini.
Seperti Note 4, S6 mempunyai fungsi pengecasan pantas. Pengecas khas dengan voltan lebih tinggi disertakan. Masa mengecas peranti dari kosong sehingga penuh adalah lebih kurang sejam. Sokongan pengecasan tanpa wayar juga kini disokong sepenuhnya. KesimpulanAnda mungkin sudah membaca ulasan Samsung Galaxy S6. Anda kini membaca perenggan terakhir untuk ulasan Samsung Galaxy S6 Edge. Jadi kami meneka persoalan nombor satu anda sekarang ialah yang manakah yang lebih berbaloi untuk dimiliki? Harga jualan dua versi ini berbeza sebanyak RM 500, RM 2599 untuk S6 dan RM 3099 untuk S6 Edge. Jawab soalan-soalan di bawah terlebih dahulu. - Adakah mempunyai peranti paling terkini dengan rekaan paling cantik penting buat anda?
- Adakah harga bukan isu besar bagi anda?
- Fungsi-fungsi gimik tidak merisaukan walaupun perlu membayar lebih?
Jika anda menjawab ya walaupun sekali maka S6 Edge ialah peranti yang anda mahu miliki sekarang. Secara peribadi kami rasakan S6 adalah pilihan lebih baik untuk majoriti pengguna. Kedua-dua peranti mempunyai kemampuan yang serupa. Kami lebih gemarkan S6 kerana ianya lebih selesa dipegang. Skrin sisi yang wujud pada S6 melengkung dan licin. Apabila peranti dipegang jari kerap kali tergelincir dari permukaan melengkung licin ini. Jika anda mahu membeli S6 Edge kami sarankan anda turut membelanjakan wang lebih untuk cangkerang yang tahan lasak. Galaxy S6 adalah lebih mesra pengguna dan boleh kami gunakan tanpa cangkerang. Segala keindahan rekaan tubuh logam dan panel kacanya boleh diperlihatkan tanpa cangkerang menutupinya. Pada pendapat kami fungsi tambahan dwi skrin sisi untuk S6 Edge juga terlalu sedikit.Pada pendapat kami fungsi tambahan dwi skrin sisi untuk S6 Edge juga terlalu sedikit. Hampir kesemua fungsi skrin sisi Note Edge yang kami gemari kini tidak lagi disertakan. Pihak Samsung perlu menambahkan lagi penggunaan skrin sisi pada peranti Edge akan datang sebelum kami merasakan versi skrin sisi peranti adalah yang paling perlu dimiliki. Buat masa ini seperti apa yang berlaku pada Note Edge, kami merasakan skrin sisi masih boleh dikategorikan sebagai gimik yang masih belum diperlukan majoriti pengguna. Ini tidak bermakna S6 Edge bukan peranti yang baik. Ianya memang peranti yang baik kerana mempunyai kemampuan memproses yang tinggi, kualiti optik yang menakjubkan, binaan premium yang melangkaui apa yang dilakukan pengeluar lain dan dipadankan dengan sistem operasi yang mantap. S6 Edge dengan mudah menduduki carta tiga peranti terbaik kami pernah ulas di Amanz. Soal berbaloi ataupun tidak bergantung kepada tahap kemampuan anda dan berapa banyak anda sanggup berbelanja untuk memiliki teknologi terkini. PRO dan Kelebihan- Rekaan logam dan kaca yang menarik. Selamat tinggal kepada rekaan plastik
- Kemampuan memproses yang tinggi.
- Kemampuan kamera yang terbaik pernah kami lihat pada peranti pintar. Mengalahkan iPhone.
- TouchWiz yang diperbaharui. Sangat lancar dan pantas.
- Pengecasan pantas serta tanpa wayar.
KONTRA dan Kekurangan- Fungsi skrin sisi yang terlalu sedikit. Skrin sisi juga membuatkan peranti menjadi semakin licin untuk dipegang. Lebih mudah tergelincir.
- Prestasi bateri yang hanya sederhana.
- Kemasan kaca mudah kotor dan memerangkap cap jari
- Pembesar suara mono.
|