CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3300|Reply: 1

[Lagu] LAGU RAYA AIZAT, ADAM

[Copy link]
Post time 26-6-2015 09:20 PM | Show all posts |Read mode


Aizat teruja dapat bekerjasama dengan Adam yang mempunyai ramai pengikut, terutamanya di AS dan Eropah.

HARUS diakui bahawa anak seni bernama Aizat telah melalui pelbagai transformasi hidupnya terutama dalam cabang seni. Pemuzik berbakat besar itu berjaya membuktikan kepada dunia bahawa gagal sekali tidak bermakna gagal untuk selamanya.

Biarpun tidak diangkat sebagai juara rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia (AF) musim kelima suatu ketika dahulu, pencapaian penyanyi yang pernah bergelut dengan masalah berat badan itu tidak boleh disangkal lagi. Dia telah banyak melahirkan karya yang mengagumkan, termasuk pernah bekerja dengan nama-nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan ramai lagi.

Aizat atau nama penuhnya Muhammad Aizat Amdan, 26, sudah boleh mendabik dada atas kejayaan yang dimiliki hari ini. Tidak keterlaluan, jika Aizat dikatakan salah seorang anak muda berwawasan yang sedang mengabdikan diri dalam seni muzik tempatan.

Ditemui dalam sebuah sesi fotografi di Restoran Istana Bambu, Kuala Lumpur, baru-baru ini, penyanyi serba boleh itu banyak berkongsi rencana masa hadapannya walaupun kelibat dan karyanya agak jarang menghiasi arus perdana kebelakangan ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang telah saya capai sepanjang saya bergelar penyanyi dan pemuzik. Banyak lagi yang perlu saya perbaiki sebenarnya kerana saya tidak pernah berasa puas dalam menghasilkan sesuatu karya.

“Sekarang saya banyakkan bekerja di belakang tabir sebagai pencipta lagu. Tetapi, itu tidak bermakna saya sudah hilang minat untuk menyanyi.

“Saya ingin pastikan apa yang saya kerjakan ada kualiti yang diinginkan. Jadi, saya fokus satu persatu,” ujarnya yang pernah menjulang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 pada tahun 2009 menerusi lagu Pergi.

Lagu raya ke AS

Selepas melancarkan album piring hitam berjudul Legasi pada pertengahan tahun lepas, Aizat satu mempunyai perkhabaran gembira yang boleh membanggakan peminat dan pemerhati seni tempatan.

Terkini, pelantun lagu Hanya Engkau Yang Mampu itu berkolaborasi dengan penyanyi antarabangsa kelahiran New York bernama Adam Saleh, 22, menerusi sebuah lagu hari raya berjudul Eid Is Here.

Tidak hanya untuk peminat di tanah air, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Aizat itu akan dipasarkan ke Amerika Syarikat (AS) sempena Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Single hari raya ini mengetengahkan elemen muzik motown yang belum pernah saya tonjolkan dalam mana-mana.

“Rentak lagu ini agak catchy. Saya rasa ia bersesuaian dengan mood dan cita rasa masyarakat di sana,” jelas Aizat bersemangat.

Ditanya tentang cetusan idea terhasilnya lagu tersebut dan kerjasama dengan Adam Saleh sebagai rakan duet, Aizat mempunyai cerita menarik untuk dikongsi.

“Idea kolaborasi dengan Adam tercetus selepas saya pulang dari New York awal tahun ini. Kebetulan pula, buat pertama kali dalam sejarah apabila AS mengisytiharkan cuti umum sempena sambutan Aidilfitri di sana.

“Memandangkan Adam mempunyai pengaruh yang besar di laman YouTube, lagu ini akan di muat naik secara eksklusif di YouTube terlebih dulu.

“Saya memilih berduet dengan Adam kerana perjuangan muzik kami sama berada dalam arus yang sama, masing-masing mengetengahkan mesej positif menerusi lagu,” ungkap Aizat.

Menurut Aizat lagi, Adam sangat terkenal dalam kalangan umat Islam di AS dan Eropah apabila videonya yang berjudul Adam Saleh Vlogs dan TrueStoryASA yang dimuat naik menerusi YouTube telah mendapat perhatian ramai.

Bagi Adam pula, dia sangat selesa sepanjang bekerjasama dengan Aizat dan berharap, kerjasama sebegitu akan berterusan pada masa akan datang. Tidak hanya Aizat, Adam berhasrat untuk menjalin usahasama dengan penyanyi tempatan yang lain.

“Dia (Aizat) sangat berbakat dan jujur terhadap apa yang dilakukan.


IKATAN persahabatan antara Aizat dan Adam terjalin hasil perkenalan di laman sosial.

“Walaupun pertama kali berjumpa dengannya, saya rasa seperti sudah mengenalinya dalam tempoh yang lama (ketawa),” tutur Adam yang kagum dengan kepelbagaian adat dan budaya di Malaysia.

Menurutnya lagi, pelawaan kerjasama berduet dalam sebuah lagu hari raya dengan Aizat merupakan sebuah idea menarik yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya akan cuba usahakan apa jua perkara yang mendatangkan kebaikan kepada umat Islam. Eid Is Here merupakan sebuah lagu yang memberi mesej positif terhadap umat Islam dan sebab itulah saya sudi menerima pelawaan Aizat.

“Lagipun, ia adalah peluang keemasan buat saya menerokai pasaran Asia dan belajar perkara baharu di sini untuk terus memperbaiki diri sebagai hamba Allah,” ujar Adam yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di YouTube.



Langit Tetap Biru

Tersenyum mendengar luahan daripada regu duet terbaharunya, Aizat turut bercerita tentang kelangsungan karier nyanyiannya kini.

Selain lagu istimewa sempena Aidilfitri, Aizat tidak ketinggalan menghasilkan sebuah lagu baharu berjudul Langit Tetap Biru yang sudah pun mendapat respon memberangsangkan daripada peminat.

“Lagu ini saya cipta ketika negara sedang bersedih menghadapi tragedi nahas MAS, banjir buruk dan beberapa lagi kejadian yang menyayat hati.

“Ia sebuah lagu berentak balada kontemporari dan berbeza dengan lagu balada pop yang lain kerana apa yang saya tekankan adalah mesej daripada setiap lirik yang tertulis,” ujar Aizat yang kini sedang merakamkan sebuah lagu duet bersama Dayang Nurfaizah.

Diusik tentang sentuhan magis dalam penulisan lagunya yang kelihatan sukar menandingi impak karya sebelum ini, Aizat tidak mudah melatah.

Katanya, cita rasa muzik pendengar sudah berubah mengikut peredaran masa. Sebagai penyanyi dan komposer, dia tidak boleh menyalahhan pendengar, jika karyanya kurang mendapat sambutan.

“Tipulah kalau saya tidak rindu untuk beraksi di pentas besar seperti AJL. Jadi, saya harap lagu Langit Tetap Biru akan berjaya mara ke pentas akhir AJL tahun ini,” katanya yang kali terakhir beraksi di pentas akhir AJL sekitar dua tahun lalu menerusi lagu Terukir Di Bintang, itu pun sebagai penyanyi gantian kepada Yuna.

Dalam perkembangan lain, Aizat memberitahu, dia juga sedang sibuk mengumpul material untuk album studio ketiganya tidak lama lagi.

“Insya-Allah, semua masih dalam perancangan dan perbincangan. Saya harap album ini akan menemui peminat awal pada tahun hadapan,” katanya.

Hargai peminat

Seiring langkahnya yang sedang berjinak-jinak dengan dunia vlogging (blog video) menerusi laman YouTube miliknya iaitu OfficialAizat Amdan, Aizat kini menawarkan dua tiket penerbangan percuma ke London kepada dua pemenang bertuah dalam satu pertandingan di laman tersebut.

Menerusi pertandingan berkenaan, peminat diminta menghantar rakaman gambar dengan insan tersayang berserta kapsyen menarik. Pemilihan pemenang akan dilakukan sendiri oleh Aizat berdasarkan rakaman dan kapsyen paling menarik berdasarkan tema lagunya, Langit Tetap Biru.

“Ini merupakan penghargaan kecil buat peminat yang sentiasa berada di belakang saya ketika susah dan senang. Terima kasih juga kepada Penerbangan Malaysia (MAS) kerana sudi menaja tiket kepada pemenang,” ujarnya.

Terharu atas sokongan peminat sejak menyertai AF sehingga sekarang, Aizat berjanji akan terus memeriahkan industri muzik dengan karya berkualiti demi kepuasan semua.

“Menghasilkan karya terbaik ialah tanggungjawab saya sebagai anak seni,” ungkapnya mengakhiri perbualan.

babab.net
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 11-7-2015 06:07 AM | Show all posts
music video baru released. layan jugak lagu nih


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Hari Raya Aidilfitri


    ADVERTISEMENT


    Forum Hot Topic

     

    ADVERTISEMENT


     


    ADVERTISEMENT
    Follow Us

    ADVERTISEMENT


    Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

    2-12-2024 07:23 AM GMT+8 , Processed in 0.045881 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

    Powered by Discuz! X3.4

    Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

    Quick Reply To Top Return to the list